Bida'ah baik dan buruk PDF Print E-mail
Written by PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN   
Thursday, 14 October 2010 00:17

ALHAMDULILLAH, dengan izin-Nya jua dapat kita menunaikan hasrat seperti yang dinyatakan di minggu lepas untuk kita memulakan perbahasan beberapa isu yang sering dimanipulasikan oleh sesetengah pihak untuk memakaikan imej negatif terhadap Tasawuf.

Berdasarkan kitab rujukan kita, Mafahim karya Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi al-Maliki, isu pertama yang diberi tumpuan adalah isu bidaah. Tasawuf atau aliran Sufi yang sebenarnya merupakan pegangan dan kecenderungan para ulama arus perdana umat, termasuk para ulama hadis dan fiqh sering digambarkan sebagai penuh dengan pegangan dan amalan bidaah.

Untuk mengelakkan kita terjerumus kepada menyalahkan sekian ramai para ulama umat yang terpilih ini, marilah kita meneliti makna dan erti bidaah yang sebenar.

Di akhir perbincangan nanti, kita berharap sekurang-kurangnya mereka yang tidak bersetuju tetap akan mengakui bahawa kita tetap ada asas pijakan ilmiah bagi pendirian kita lantas bersedia untuk lebih berlapang dada dalam berbeza pendapat.

Terdapat di kalangan umat Islam yang mengaku sebagai ulama atau pakar ajaran Islam telah menisbahkan diri mereka kepada salafussoleh.

Malangnya, mereka mengajak umat Islam mengikut jejak langkah atau Sunnah ulama Salafussoleh dengan cara-cara yang primitif, penuh kejahilan, fanatik buta, akal yang senteng, pemahaman yang dangkal dan dada yang sempit.

Bahkan, mereka juga berani memerangi setiap sesuatu yang baru dan mengingkari setiap penemuan baru yang baik dan berfaedah hanya kerana menilai (dengan pemahaman mereka yang sempit) perkara tersebut sebagai bidaah. Pada pemahaman mereka, semua bidaah adalah sesat tanpa membezakan di antara jenis-jenis bidaah yang ada.

Sedangkan, roh dan semangat agama Islam menghendaki supaya kita membezakan di antara pelbagai bidaah yang ada. Sepatutnya umat Islam perlu mengakui bahawa bidaah itu ada yang baik dan ada yang sesat. Inilah perkara yang lebih selari dengan akal yang cerdas dan penelitian yang cemerlang.

Inilah perkara yang telah ditahqiq (diakui kebenarannya setelah dilakukan penelitian) oleh ulama usul daripada kalangan ulama Salaf umat ini seperti Imam al 'Iz Ibnu Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuti, Imam Jalaluddin al Mahalli, dan Ibnu Hajar, semoga Allah merahmati mereka semua.

Inilah perbahasan awal dalam menetapkan bahawa sebenarnya ada hujah yang kuat dan muktabar untuk menerima pembahagian bidaah kepada yang tercela dan terpuji, baik dan buruk. Insya-Allah kita akan menyambung perbincangan ini di minggu hadapan dengan harapan agar Allah SWT sentiasa membuka hati-hati kita untuk mendengar kalam yang baik lalu mengikut yang terbaik. Hanya Dialah yang menunjukkan seseorang ke jalan yang lurus