Jualan yang ditegah menurut syarak PDF Print E-mail
Written by Ustaz Alias   
Saturday, 24 July 2010 15:11

Jualan yang ditegah terbahagi dua:

  1. Jualan yang ditegah serta tidak sah.
  2. Jualan yang ditegah tetapi sah.

Jualan yang ditegah serta tidak sah

  • Menjual anak binatang di dalam kandongan anak binatang yang masih kecil adalah tidak sah kerana barang yang dijual tiada di dalam milik penjual, lagi pula tidak diketahui keadaannya serta tidak dapat diserahkan kepada pembeli. Contohnya penjual yang memiliki seekor anak lembu yang berusia setahun berkata “aku jual anak bagi anak lembu ini”
  • Tidak sah menangohkan harga sehingga anak binatang yang belum lahir melahirkan anaknya kerana tidak diketahui masa penangohan. Contohnya seorang membeli sebuah peti sejuk dengan janji membayarnya sehingga lembu ini beranak anak lembu betina dan anak lembu itu beranak anak lembu yang lain.
  • Tidak sah jual beli dengan meletak cengkeram, kemudian cengkeram itu jadi pemberian jika tidak jadi beli dan dibayarkan harga jika jadi beli.
  • Haram menceraikan hamba perempuan dari anaknya sebelum anak itu mumaiyiz sekalipun ibu itu redah atau kafir, maka batal jual atau hebah yang menceraikan keduanya.
  • Hukum menceraikan antara ibu binatang dan anaknya dengan jual atau pemberian:
  1. Harus jual atau hebah jika disembelih keduanya atau disembelih salah satu dari keduanya. Pada sembelih ibu sahaja bersyarat iaitu hendaklah anak binatang itu tidak bergantong pada ibunya untuk hidup.
  2. Haram lagi tidak sah jual atau hebah selain dari yang dinyatakn diatas.
  3. haram lagi tidak sah jual atau hebah anak binatang atau ibunya kepada orang yang disangka bahawa dia akan sembelih, kerana terkadang sangkaan itu meleset.
  4. Mensyaratkan sembelih pada jual binatang adalah tidak sah.
  • Jual beli bersyarat terbahagi dua:
  1. Jual beli bersyarat yang ditegah dan tidak sah:

i.   Menjual sesuatu dengan syarat pembeli menjual barang yang lain kepada penjual atau orang lain, contohnya “aku jual baju ini kepada engkau dengan harga sepuloh ringit dengan syarat kau jual pen engkau dengan harga lima ringit kepada aku atau pada sipolan”.

ii.   Menjual sesuatu dengan syarat pembeli memberi hutang kepada penjual, contohnya “aku jual jam ini kepada engkau dengan harga tiga ratus ringit dengan syarat kau beri hutang kepada aku seratus ringit”.

iii.   Membelibeli padi pada pohonnya dengan syarat penjual mengetamnya.

  1. Jual beli bersyarat yang sah:

i.   Jual sesuatu dengan syarat khiar (boleh pilih meneruskan jual beli atau membatalkannya).

ii.   Jual beli sesuatu dengan syarat lepas dari cacat.

iii.   Jual sesuatu dengan syarat harganya bertangoh.

iv.   Jual beli sesuatu yang bertangoh dengan syarat gadai.

v.   Jual sesuatu dengan syarat yang tidak dikehendaki pada kebiasannya, seperti jual durian dengan syarat tidak dimakan, maka jual beli itu sah dan syarat tidak terpakai.

vi.    Jual beli dengan syarat ada pada barang atau harga sifat yang dikehendaki, seperti “aku jual kambing ini dengan harga tiga ratus ringit dengan syarat bunting” maka jual beli ini sah tetapi jika kambing itu tidak bunting harus bagi pembeli memilih meneruskan jual beli atau membatalkannya.

  • Tidak sah lagi ditegah jual binatang serta anaknya di dalam perut seperti berkata penjual “aku jual lembu ini serta anaknya yang di dalam perut dengan harga seribu dua ratus, kerana tidak diketahui keadan anak yang di dalam perut.
  • Tidak sah lagi ditegah menjual binatang yang bunting tetapi yang dijual ibunya sahaja atau yang dijual anaknya sahaja. Adapun menjual ibu yang bunting, maka termasuk di dalam jualan itu anak yang di dalam kandongan.

Jual yang ditegah tetapi hukumnya sah

  • Mengambil barang keperluan dari pengeluar kemudian dijual sedikit demi sedikit dengan tujuan menaikkan harga adalah sah tetapi haram maka dosa atas orang yang mengambil, seperti seorang membawa barang keperluan dari kampong ke bandar dengan tujuan menjual mengikut harga semasa, kemudian datang orang lain kepadanya  dan berkata ” tingalkan barang kamu kepada aku supaya aku jual sedikit demi sedikit degan harga yang mahal”
  • Talaqi rukban ialah menahan dan membeli barang dagangan daripada pengeluar supaya tidak sampai ketempat jualan dengan tujuan pengeluar tidak mengetahui harga semasa maka ia adalah haram dan harus bagi pengeluar memilih meneruskan jual beli atau membatalkannya denga segera apabila dia mengetahui kerugiannya.
  • Menawar atas tawaran orang lain yang telah tetap harga adalah sah tetapi haram dan orang yang kemudian membuat tawaran adalah berdosa. Sementara menawar barang yang dijual secara lelong adalah tidak haram kerana harga belum lagi ditetapkan.
  • Haram menjual atas jualan orang lain pada waktu khiar tanpa keizinan dari penjual, seperti Ali menjual satu barang kepada Zaid, sebelum sempurna jual beli, Hamzah menawar kepada Zaid akan  barang yang serupa dengan harga yang lebih murah atau barang yang lebih elok dengan harga yang sama atau harga yang lebih murah dengan tujuan Zaid membatalkan beliannya. Tidak haram dan tidak berdosa jika Ali mengizinkan Hamzah menjual barang itu.
  • Haram membeli atas belian orang lain pada waktu khiar tanpa keizinan dari pembeli, seperti Zaid menjual buku pada Omar dengan harga sepuloh ringit, datang Osman hendak membeli buku itu dengan harga limabelas ringit. Tidak haram dan tidak berdosa jika Omar mengizinkan osman membelinya.
  • Menaikkan harga tidak bertujuan membelinya bahkan hendak menipu atau menguntungkan penjual adalah sah tetapi haram sekalipun harta anak yatim.
  • Haram menjual buah angor atau kurma basah atau lainnya kepada orang yang membuat arak jika dia mengetahui atau menyangka pekara itu dan makruh menjualnya jika dia hanya syak sahaja