Hukum berkaitan barang jualan PDF Print E-mail
Written by Ustaz Alias   
Tuesday, 20 July 2010 07:22

Lima syarat bagi barang yang dijual dan harga

  1. Hendaklah keduanya suci.
  2. Ada manfaat pada keduanya
  3. Barang yang dijual dan harga dapat diserahkan.
  4. Barang yang dijual dimiliki oleh penjual dan harga dimiliki oleh pembeli.
  5. Barang yang dijual dan harga diketahui oleh penjual dan pembeli.

 

Keterangan bagi syarat hendaklah keduanya suci

 

  • Barang yang dijual dan harga hendaklah suci seperti ikan, kain, daging binatang yang boleh dimakan dan sebagainya.
  • Barang yang tidak suci ialah suatu yang najis seperti anjing, babi, arak, darah, gading gajah, bulu binatang yang tidak boleh dimakan, dan sebagainya yakni tiap-tiap benda yang najis, maka barangan sedemikian tidak sah dijual atau dijadikan harga.
  • hukum menjual barang yang terkena najis atau dijadikan harga terbahagi tiga:
  1. Benda yang dapat disuci seperti kain yang terkena najis adalah sah dijual atau dijadikan harga.
  2. Benda yang tidak dapat disuci dan ia asing dengan sendirinya seperti minyak yang terkena najis dan tiap-tiap cecair yang terkena najis adalah tidak sah dijual atau dijadikan harga.
  3. Benda yang tidak dapat disuci dan ia tidak asing dengan sendiri seperti tanah yang ada di atasnya binaan yang bercampur dengan tahi atau rumah yang dibina daripada najis binatang adalah sah dijual atau dijadikan harga kerana najis itu dihukumkan mengikut benda yang dijual dan akad jual beli itu jatuh pada benda yang suci manakala najis itu dihukumkan mengikut benda yang suci dengan cara berpindah tangan.
  • Baja daripada tahi adalah tidak sah dijual-beli, tetapi dengan jalan berpindah tangan seperti bersedekah, pemberian, atau wasiat adalah sah. Disini ada satu helah untuk mendapat balasan dari pemberian baja tahi iaitu dengan mengambil upah mengangkut atau membungkus.

 

Keterangan bagi syarat ada manfaat pada keduanya

 

  • Barang yang dijual atau harga hendaklah ada manfaat yang diharus oleh syarak seperti rumah untuk diduduki, beruk untuk panjat pokok kelapa, jam untuk mengetahui masa dan sebagainya.
  • Sah menjual atau menjadikan harga sesuatu yang ada manfaat pada masa hadapan seperti anak beruk yang belum boleh memanjat.
  • Benda yang tidak ada manfaat ialah seperti segala binatang yang melata dibumi seperti cacing, ular dan jenking kerana tiada manfaat baginya pada syarak untuk dibandingkan dengan harta. Adapun segala manfaat atau khasiat yang ada padanya adalah tidak dianggap manfaat pada syarak.
  • Binatang buas seperti harimau, singa dan sebagainya tidak mempunyai menfaat kerana tidak boleh diguna untuk memburu atau tidak boleh diguna sebagai penuggu maka hukum menjual atau dijadikan harga adalah tidak sah.
  • Harimau bintang menfaatnya untuk memburu, gajah menfaatnya dijadikan kenderaan, kucing menfaatnya menangkap tikus, dan kera menfaatnya menjadi penuggu atau memetik buah kelapa maka sah dijual atau dijadikan harga.
  • Dua biji gandom atau dua biji beras adalah tidak sah menjualnya atau dijadikan harga kerana tiada menfaat baginya untuk dibandingkan dengan harta pada kebiasan sebab sedikit.

 

Keterangan bagi syarat barang yang dijual atau harga dapat diserahkan

 

  • Penjual hendaklah mempastikan barang yang dijual dapat diserah kepada pembeli sementara pembeli pula dapat menyerahkan harga pada penjual adapun barang yang dijual atau harga yang tidak dapat diserah maka jual beli itu tidak sah.
  • Barang yang dirampas, binatang yang lari atau sesat, burung terbang atau lebah yang terbang ibunya dan ikan didalam kolam yang luas sekira-kira payah mengambilnya adalah contoh barangan yang tidak dapat diserahkan.
  • Menjual kepada seorang yang sangup mendapatkannya barang yang dirampas atau binatang yang lari adalah sah.
  • Sah menjual lebah yang mana ibunya didalam sarang kerana boleh dipegang pada adat kebiasan bahawa lebah itu akan kembali ke sarang sementara menjual burung yang beradat kembali ke sarang adalah tidak sah kerana tidak dapat dipegang adat kebiasan kembali ke sarang.
  • Tidak sah menjual atau dijadikan harga sebahagian daripada satu barang ap abila ia dibahagi jadi binasa atau mengurangkan harga seperti menjual sebahagian daripada satu tempayan atau menjual batu permata pada cincin apabila diceraikan jadi kurang harganya adapun menjual atau dijadikan harga, batu permata pada cicin yang tidak jadi kurang harga batu itu dan juga cincinnya maka juala belinya adalah sah.
  • Sah menjual atau dijadikan harga sebahagian daripada satu barang apabila dibahagi ia tidak binasa atau tidak kurang harganya, seperti menjual sebahagian rumah.
  • Hukum menjual barang yang digadai adalah seperti berikut:
  1. Barang yang digadai dan telah diserahkan kepada pemegang gadai adalah tidak sah menjualnya tanpa izin daripada pemegang gadai.
  2. Sah menjualnya jika dijualkan kepada pemegang gadai.
  3. barang yang digadai sebelum diserahkan kepada pemegang gadai adalah sah menjualnya walaupun tanpa izin daripada pemegang gadai.

 

Keterangan bagi syarat barang yang dijual didalam milik penjual dan harga didalam milik pembeli.

 

  • Barang yang dijual hendaklah ada didalam kekuasan penjual samaada penjual itu tuan barang, wakil atau orang yang diberi izin oleh agama menjualnya seperti bapa dibolehkan menjual harta anaknya yang belum baligh atau gila atau kadi dibolehkan menjual harta orang yang tidak mahu membayar hutang. Oleh itu adalah tidak sah menjual suatu benda yang bukan milik penjual atau belum menjadi milik penjual seperti seorang yang menjual barang yang telah dibeli sebelum dia menerima barang tersebut kerana barang itu belum jadi miliknya sekalipun dia telah membelinya.
  • Tidak sah menjual sesuatu yang tidak diwakilkan untuk menjualnya kerana barangan itu tiada didalam kekuasannya.
  • Tidak sah jual beli orang yang tidak diizin oleh agama.
  • Seorang yang tiada kena mengena dengan sesuatu barang tiba-tiba dia menjual barang itu atau dijadikan harga dinamakan jual fuduli maka jual itu tidak sah sekalipun diluluskan oleh pemilik. Dalam pada itu tersebut didalam kitab Tuhfah “jual fuduli terletak diatas kelulusan pemilik, jika dia meluluskannya maka sah jualan itu sekiranya dia tidak meluluskannya maka tidak sah”.
  • Seorang yang menjual harta orang yang dia boleh warisi harta orang itu pada hal ia menyangka warisnya itu masih hidup kemudian ternyata warisnya itu telah mati semasa jualan berlaku maka sah jualannya.

 

Keterangan bagi syarat barang yang dijual dan harga diketahui oleh penjual dan pembeli.

 

  • Penjual dan pembeli hendaklah mengetahui ketentuan barang yang dijual dan harga, kadar keduanya dan sifat keduanya.
  • Yang dimaksudkan dengan ketentuan barang yang dijual dan harga  ialah kedua pekara tersebut hendaklah ditentukan dengan apa-apa cara yang boleh membeza antara keduanya dangan barangan lain yang tiada kena mengena dalam akad jual beli.
  • Jualan dengan lafaz “aku jual salah satu daripada dua kereta ini kepada engkau dengan harga lima puloh ribu” adalah tidak sah kerana penjual tidak menentukan barang yang mana hendak dijual.
  • Disyaratkan mengetahui kadar pada jual benda yang bercampur seperti menjual segantang beras daripada timbunan ini dengan harga sekian.
  • Menjual satu timbunan beras yang tiak diketahui sukatannya deng kadar tiap-tiap satu gantang tiga ringit adalah sah kerana diketahui kadarnya iaitu tiap-tiap satu gantang tiga ringit.
  • Sah menjual tanah dengan seumpama kata penjual “aku jual tanah ini pada kadar tiap-tiap satu kaki persegi tujuh ringit”.
  • Tidak sah jualan seumpama kata penjual ” aku jual padi sepenuh tong ini dengan harga sekian, atau aku jual emas seberat batu ini dengan harga sekian” jika salah seorang daripada penjual atau pembeli tidak mengetahui kadar sepenuh tong itu atau berat batu itu tetapi jika keduanya mengetahui kadar sepenuh tong itu atau berat batu itu sebelum akad jual beli nescaya sah.
  • Tidak sah menjual atau menjadikan harga sesustu yang tidak dilihat oleh salah seorang daripada penjual dan pembeli.
  • Melihat barang yang dijual adalah termasuk dalam kata mengetahui.
  • Sah tetapi makroh menjual timbunan padi yang ditentukan serta dilihat kerana terkadang membawa penyesalan.
  • Sah menjual benda yang telah dilihat oleh penjual dan pembeli kemudian selang beberapa masa keduanya berakad jual beli sebelum berubah benda yang hendak dijual pada kebiasannya seperti tanah, besi dan emas, tetapi jika benda itu pada kebiasannya berubah sebelum waktu akad jual beli seperti makanan maka akad jual beli itu tidak sah.
  • Menjual benda yang dilihat sebahagiannya sedangkan ia sama dengan bahagian yang tidak dilihat seperti melihat sebelah luar satu timbunan padi maka jual belinya adalah sah, tetapi jika ternyata bahagian yang dilihat tidak sama dengan bahagian yang tidak diliha maka bolehlah pembeli memilih meneruskan jual beli atau membatalkannya.
  • Tidak sah menjual benda yang dilihat sebahagiannya sedangkan ia tidak sama dengan bahagian yang lain seperti melihat sebelah lua setimbun tembekai kerana tiap-tiap sebiji tembikai tidak sama antara satu sama lain.
  •  Sah menjual benda yang dilihat sebelah luar sahaja sedangkan ia memelihara sebelah dalam seperti durian, telor yang dilihat kulitnya, kelapa yang dilihat tempurongnya dan sebagainya.
  • Melihat benda yang dijual hendaklah menurut keadaan dan kebiasaannya seperti:
  1. Rumah; hendaklah melihat dinding, atap saluran air dan keluasannya.
  2. Kebun; dilihat pohon kayu, pagar, parit dan keluasannya.
  3. Binatang; dilihat sekelian tubuhnya.
  4. Kain; dilihat kedua belahnya dan hendaklah dibuka segala lipatannya.
  5. Buku; dilihat tiap-tiap lambarannya.
  • Wajib mesifat seperti sifat jual salam (jual sesuatu dengan cara tempah) pada barang yang tidak ada semasa akad jual beli berlagsong. Akad ini termasuk dalam jual beli bukan jual salam kerana mengikut pada lafaz jual beli. Oleh itu tidak disyaratkan menyerahkan harga sebelum berpisah penjual dan pembeli, adapun jual salam disyaratkan menyerah harga sebelum berpisah keduanya.

 

Peringatan;  Tiap-tiap barang yang boleh dijual boleh dijadikan harga maka syarat keduanya adalah sama. Oleh itu keterangan bagi harga adalah sama dengan barang yang dijual.