Hukum berkaitan Penjual dan pembeli PDF Print E-mail
Written by Ustaz Alias   
Tuesday, 20 July 2010 07:21

 Syarat bagi penjual dan pembeli ada empat iaitu baligh, berakal, orang yang dibenarkan menguna harta, dan berjual beli dengan kemahuan sendiri. Ditambah dua syarat bagi pembeli iaitu beragama islam jika barang yang dibeli al-Quran dan bukan kafir harbi jika barang yang dibeli senjata atau alat perang.

 

Keterangan bagi syarat diatas

 

  • Baligh: kanak-kanak tidak sah berjual-beli.
  • Berakal: orang yang tidak berakal seperti orang gila jual-belinya tidak sah.
  • Orang yang boleh mengunakan harta: orang yang dilarang oleh mahkamah memperguna hartanya, seperti seorang yang muflis (benkrap) adalah tidak sah jual-belinya.
  • Kemahuan sendiri: tidak sah jual beli orang yang dipaksa,  kecuali orang yang dipaksa oleh mahkamah menjual hartanya untuk membayar hutang maka jual beli itu adalah sah.
  • Beragama islam pembeli al-Quran: syarat ini mengandungi beberapa masalah
  1. Orang kafir tidak sah membeli dengan niat memiliki al-Quran atau barang yang tertulis al-Quran dengan kasad al-Quran walaupun satu huruf.
  2. Orang kafir boleh memiliki mata wang yang tertulis al-Quran kerana hajat dan kerana tulisan itu tidak dikasadkan al-Quran.
  3. Orang kafir tidak sah mewakilkan orang islam membeli al-Quran untuk dirinya.
  4. Orang kafir sah menjadi wakil bagi orang islam membeli al-Quran dengan syarat dia tidak memegang al-Quran itu tetapi hendaklah yang mengambil al-Quran itu orang yang mewakilkan dia atau wakil yang beragama islam.
  5. Hukum orang murtad membeli al-Quran sama seperti orang kafir.

 

  • Bukan kafir harbi pembeli senjata dan alat perang: pembeli senjata dan alat perang hendaklah bukan dari dua golongan berikut
  1. Kafir zimmi yang tidak tingal di dalam negara islam.
  2. Kafir harbi.

Kedua golongan ini tidak sah membeli senjata dan alat perang.

Yang dimaksudkan dengan senjata ialah pedang, tombak, senapang, pistol dan sebagainya. Yang dimaksudkan dengan alat perang ialah tiap-tiap alat yang diguna bagi maslahah peperangan seperti perisai, baju kalis peluru, jet pejuang, dan sebagainya.

Kafir zimmi yang menjadi penduduk negara islam adalah sah membeli senjata dengan syarat bukan untuk kafir harbi.

Secara ringkasnya kafir zimmi ialah orang kafir yang diberi kebenaran tingal di dalam negara islam dan mengaku taat menurut perintah islam dan kafir harbi ialah kafir yang diwajibkan ke atas umat islam memerangi mereka itu.

Tidak menjadi kesalahan menjual besi atau apa sahaja yang boleh dijadikan senjata kepada kafir harbi kerana tidak yakin mereka itu buat senjata dengan barang tersebut.