Bid'ah dalam masalah khilafiyah PDF Print E-mail
Written by Mohd Aizam Mas’od   
Sunday, 27 June 2010 00:00

Mohd Aizam Mas’od
Caw. Aqidah
Bah. Penyelidikan JAKIM

Segelintir pejuang anti mazhab menganggap dalam banyak perkara mengikuti
mazhab boleh membawa kepada bid‘ah. Mereka beralasan dengan pelbagai hujjah.

Antaranya terdapat pendapat-pendapat mazhab itu yang zahirnya menyalahi nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Tidak disebut di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Didiamkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Menyalahi hadith yang sahih. Menyalahi imam mazhab sendiri. Tidak dilaksanakan oleh ulama Salaf serta pelbagai lagi dakwaan yang lain.

Kebanyakan isu-isu yang dibangkitkan oleh golongan ini pula lebih berkisar kepada permasalahan cabang fiqh. Namun hukuman ‘bid‘ah’ yang dijatuhkan oleh mereka ke atas masyarakat yang tidak menerima hujjah mereka menyebabkan isu yang kecil menjadi besar. Secara ringkasnya, dibentangkan beberapa isu yang dibangkitkan oleh golongan anti mazhab dari pelbagai sudut masalah fiqh serta jawapannya oleh penganut mazhab :-

a) Menafikan solat sunat ihram. Pandangan ini adalah amat bertentangan
dengan pandangan jumhur ulama dalam mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali
yang mengatakan kesunatan solat sunat sebelum ihram berdalilkan zahir
hadith Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan dalam sahih al- Bukhari dan Muslim.

b) Mendakwa anjing tidak najis tetapi hanya mazhab yang mengatakan ia najis.
Ia berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang menunjukkan
bahawa anjing pernah kencing dan berjalan-jalan di dalam masjid. Ia dijawab
bahawa hukum najis ke atas badan anjing diqiyaskan kepada kenajisan mulut
anjing sebagaimana yang tersebut di dalam hadith sahih. Qiyas aulawi ini
digunapakai dalam mazhab Syafi’i dan Hanbali. Adapun hadith al-Bukhari
yang mengatakan bahawa anjing pernah kencing dan berjalan di dalam
masjid dijawab oleh Ibnu Hajar al-Asqalani sebagai hadith yang terbit sebelum
daripada arahan supaya kawasan masjid dipelihara daripada najis dan
kotoran.

c) Mendakwa darah tidak najis tetapi hanya mazhab yang mengatakan ia najis.
Ia berdasarkan hadith hasan riwayat Abu Daud yang dikatakan bahawa
seorang sahabat yang berlumuran darah tetap terus menunaikan solatnya.
Pandangan ini amat bercanggah dengan kesepakatan semua mazhab
berasaskan dalil al-Qur’an yang jelas bahawa darah itu haram dimakan. Imam
al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat surah al-Baqarah ayat 173 mengatakan:
“Ulama bersepakat bahawa darah itu haram dan najis, tidak dimakan dan
tidak boleh dimanfaatkan”. Ibnu Taimiyyah juga mengatakan bahawa kaedah
menyebut, kesucian dan kenajisan sesuatu adalah mengikut kepada
kehalalan dan keharaman sesuatu makanan atau minuman. Namun begitu
tidak dinafikan terdapat perbezaan pendapat ulama tentang jenis dan
keadaan darah tertentu. Oleh itu setiap hukum tidak boleh dimutlakkan
dengan hanya membaca satu dalil.

d) Mengatakan bahawa air kencing binatang yang halal dimakan adalah suci
berdasarkan hadith sahih, boleh dijadikan asal untuk diqiyaskan kepada
masalah kesucian anjing. Ianya dijawab dengan menjelaskan bahawa
walaupun hadith itu sahih tetapi istidlal terhadap hadith itu adalah berbezabeza
mengikut pandangan ulama. Menurut mazhab Syafi’i dan Hanafi, hadith
yang mengatakan bahawa air kencing haiwan yang boleh dimakan itu suci
adalah hanya di dalam kes dharurat seperti untuk tujuan perubatan.

e) Mendakwa waktu imsak sebagai sesuatu yang bercanggah dengan sunnah
Rasulullah SAW, kerana ia melarang umat Islam makan dan minum sebelum
masuknya waktu Subuh. Ia dijawab dengan mengatakan bahawa waktu imsak adalah suatu ijtihad oleh para ulama Syafi’iyyah berdasarkan hadith sahih
bahawa jarak antara sahur Nabi SAW dan solat Subuh adalah lebih kurang
bacaan 50 ayat. Melalui hadith ini para ulama mengatakan sunat kita berhenti
makan dan minum 10 ke 15 minit sebelum masuknya waktu Subuh.
Perbuatan imsak ini hanya dianggap sunat dan sesiapa yang mengatakan
mazhab Syafi’i mengatakan ia wajib adalah suatu tohmahan dan tuduhan
melulu.

f) Menolak perkara-perkara yang membatalkan puasa berdasarkan fiqh mazhab
kerana berdasarkan hadith sahih terdapat hanya lima sahaja perkara yang
membatalkan puasa. Ia dijawab dengan mengatakan kaedah memahami
hukum hanya berdasarkan zahir nas sahaja adalah merupakan kaedah dalam
mazhab Ibnu Hazm al-Zahiri. Perkara-perkara yang membatalkan puasa ini
dibincangkan oleh ulama mazhab menurut kaedah Usul al-Fiqh dan bukan
sekadar melihat zahir nas.

g) Mempertikaikan jawab lafaz-lafaz iqamah dan doa selepasnya. Ia dijawab
bahawa lafaz iqamah dan doa selepasnya adalah pendapat jumhur ulama.
Termasuk yang membenarkannya adalah fatwa Lajnah Tetap Bagi Kajian
Ilmiah dan Fatwa Kerajaan Arab Suudi.

h) Mempertikai bacaan basmalah secara kuat. Ia dijawab bahawa membaca
basmalah dengan lafaz kuat atau perlahan adalah khilaf fiqhi di kalangan
ulama. Bagi mazhab Syafi’i membaca basmalah secara kuat adalah sunat
mua’kkad.

i) Mempertikai perbuatan menyapu muka selepas salam. Ia dijawab dengan
mengatakan perbuatan menyapu muka adalah sabit melalui hadith dha’if dan
amat keterlaluan untuk menyifatkan pelakunya ahli bid’ah.

j) Menolak talqin selepas pengkebumian. Ia dijawab dengan mengatakan
amalan talqin adalah sunat berdasarkan mazhab Syafi’i dan Hanbali. Imam
Nawawi mengatakan walaupun hadithnya dha’if namun ia disokong oleh
hadith-hadith yang sahih dan berdasarkan keumuman ayat al-Qur’an yang
memerintahkan manusia supaya sering ingat-mengingati.

Masalah-masalah di atas adalah termasuk dalam perbincangan cabang fiqh.
Perselisihan telah berlaku sejak sekian lama. Para ulama Usul mengatakan
perselisihan cabang fiqh tidak sekali-kali boleh dianggap bid‘ah. ‘Allal al-Fasi
mengatakan, “Dan tidak termasuk bid‘ah, fatwa-fatwa para ulama mujtahid, walaupun
mereka mengeluarkan pandangan yang belum pernah didahului sebelumnya dengan
syarat bersandarkan dalil-dalil syar‘i”21.

———————–
Jurnal
Penyelidikan JAKIM bil.20/2007
21 Maqasid al-Syari‘ah, hal. 184. Baca artikel penulis bertajuk Bid’ah: Antara Dua Pendekatan di dalam

PENGAJARAN HASSAN AL-BANNA DALAM MASALAH KHILAFIYYAH

Al-Qaradawi ada menukilkan satu kisah yang pernah berlaku kepada al-Syahid Imam Hasan al-Banna, pengasas gerakan Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Ia merupakan kisah yang cukup baik yang perlu dihayati oleh semua pendakwah yang mengakui mahu memperjuangkan Islam terutama dalam memastikan kesatuan umat Islam.

Al-Banna mencatatkan dalam Muzakkirat nya tentang kisah beliau menyampaikan kuliah agama ketika beliau masih berumur dua puluhan tahun. Beliau menyampaikan kuliah tersebut antara waktu Maghrib dan Isyak di satu sudut di sebuah masjid kecil. Setelah sekian waktu, kuliah tersebut telah mendapat perhatian dan para hadirin yang hadir telah bertambah. Termasuk juga yang hadir adalah di kalangan mereka yang menyimpan sikap dan pendirian lama dalam masalah khilaf dan suka membangkitkan api perdebatan.
Sehingga pada suatu malam, al-Banna merasakan terdapat satu kelainan terhadap hadirin yang hadir. Seolah-olah terdapat perbezaan kelompok di kalangan para pendengar termasuk tempat duduk mereka. Pada malam tersebut, belum sempat al- Banna hendaklah memulakan kuliahnya, tiba-tiba beliau telah diajukan satu soalan.
“Apakah pandangan ustaz tentang masalah tawassul? Maka al-Banna menjawab:
“Wahai saudaraku, aku berpandangan engkau bukan bermaksud mahu bertanya
tentang masalah ini sahaja, tetapi engkau juga mahu bertanya tentang selawat
selepas azan, membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, lafaz siyadah Rasul dalam tasyahhud, bagaimana kedudukan ibu bapa Nabi SAW di akhirat, sampai atau tidak bacaan al-Qur’an kepada si mati, adakah perkumpulan-perkumpulan yang dibina oleh ahli tariqat itu maksiat atau qurbah”, dan pelbagai masalah lagi.

Al-Banna sengaja menyenaraikan semua perkara-perkara khilaf tersebut yang telah menyalakan api fitnah sejak sekian lama sehingga membuatkan lelaki penyoal itu tersentak. Lalu lelaki itu menjawab: “Ya, aku mahukan jawapan atas kesemua soalan itu!”

Lalu al-Banna menjawab: “Wahai saudaraku, aku bukanlah seorang alim, tetapi aku
seorang guru bandar yang menghafaz sesetengah ayat al-Qur’an dan sesetengah
hadith Nabi dan mengetahui beberapa hukum agama setelah merujuk kepada kitab-kitab.
Lalu aku menawarkan diri untuk mengajarkan ilmu itu kepada orang ramai.
Maka sekiranya engkau bertanya kepadaku soalan yang terkeluar daripada apa yang
aku tahu maka engkau telah menyukarkan aku, sedangkan barangsiapa yang
mengatakan aku tidak tahu dia juga telah berfatwa. Sekiranya engkau merasa puas
dengan apa yang aku sampaikan, dan melihat padanya ada kebaikan, maka
dengarilah ia. Sekiranya engkau ingin mengetahui lebih lanjut maka bertanyalah
kepada para ulama yang pakar selainku. Mereka mampu memberi fatwa terhadap
apa yang kamu mahu. Adapun aku, maka inilah kadar ilmuku, sesungguhnya Allah
tidak memberatkan ke atas seseorang melainkan apa yang diusahakan”.

Itulah jawapan al-Banna kepada lelaki tersebut dan lelaki itu pada hakikatnya tidak mendapat apa-apa jawapan daripada al-Banna. Namun dengan ucapan al-Banna itu para hadirin atau kebanyakan mereka merasa berpuas hati. Lalu dengan kesempatan yang ada al-Banna meneruskan ucapannya dengan berkata:
“Wahai saudara-saudaraku, aku amat mengetahui bahawa saudara yang bertanya
tadi, termasuk juga ramai di kalangan kalian, tidak bermaksud daripada soalan
seumpama itu melainkan hanya ingin mengetahui, daripada kumpulan manakah
pengajar baru ini? Adakah daripada kumpulan Syeikh Musa atau daripada kumpulan
Syeikh Abdul Sami’?! Sesungguhnya pengetahuan ini tidak memberikan apa-apa
manfaat kepada kamu, sedangkan kamu telah menghabiskan masa dalam keadaan
fitnah selama lapan tahun dan cukuplah sekadar itu. Kesemua masalah-masalah itu
telah diperselisihkan oleh umat Islam sejak ratusan tahun dan mereka masih terus
berselisih pendapat sehingga ke hari ini, namun Allah SWT redha kepada kita untuk
berkasih sayang dan bersatu padu serta membenci untuk kita berselisihan dan
berpecah-belah. Maka aku ingin mengajak kamu semua berjanji dengan Allah SWT
untuk meninggalkan semua perkara-perkara ini sekarang, dan bersungguh-sungguh
untuk mempelajari asas-asas agama dan kaedah-kaedahnya, beramal dengan
akhlaknya, kelebihan-kelebihannya yang umum dan petunjuk-petunjuknya yang
disepakati. Dan mendirikan segala kewajipan dan sunat serta meninggalkan sikap
memberat-beratkan dan terlalu rigid supaya hati menjadi suci. Dan supaya menjadi
tujuan kita semua hanya untuk mengetahui kebenaran, bukan hanya kerana sekadar
mahu memenangkan satu pandangan. Ketika itu, kita mempelajari kesemua ini
bersama dalam keadaan kasih sayang, kepercayaan, kesatuan dan keikhlasan. Aku
berharap kamu terimalah pandanganku ini dan agar ia menjadi perjanjian sesama
kita untuk berbuat demikian”22.

PESANAN BUAT ANTI MAZHAB

Pengajaran yang boleh diambil, usahlah diputuskan perkara-perkara khilaf itu
dengan alasan ia muktamad berdasarkan Sunnah. Ia lebih dekat kepada Sunnah. Ia lebih rajih berdasarkan Sunnah. Ia memang benar, tetapi adakah seluruh umat boleh dipaksa untuk memahami perkara tersebut sedemikian rupa?

Dr. Yusof al-Qaradawi mengatakan, “Dan banyak perkara yang mempengaruhi
kefahaman manusia disebabkan akal mereka (yang beza-beza), situasi mereka,
kecenderungan jiwa dan pemikiran mereka. Maka seorang yang tegas akan
memahami nas tidak seperti seorang yang lembut memahami nas. Oleh yang
demikian, warisan Islam terkenal dengan syada’id (ketegasan) Ibn Umar dan rukhas
(keringanan) Ibn Abbas. Yang mempunyai pandangan yang luas akan memahami
(nas) tidak seperti yang berakal sempit memahaminya…dan bagi Allah terdapat
hikmah untuk Dia menjadikan nas ini menerima kepelbagaian pendapat”23.

Kemudian al-Qaradawi melanjutkan lagi pada bahagian lain, “adapun yang perlu
dibantah secara sesungguhnya dan ditolak pembawanya, iaitu mereka yang menolak
nas-nas syara’ yang muktamad dari sudut thubut (periwayatannya) dan dilalahnya
(petunjuknya)”24.

Inilah golongan yang kita perlu hadapi dengan sebenar-benarnya. Mereka ini perlu diisytiharkan ’perang’ kerana mereka menolak kewujudan syariat dalam Islam. Islam bagi mereka hanyalah satu agama tanpa syariat, tanpa negara, tanpa sebarang keterikatan terhadap nas-nas. Yang ada cuma akal dan rasional semata-mata. Inilah sasaran para pendakwah yang sebenar, sekiranya mereka benar-benar mahu mengembalikan ummah kepada al-Qur’an dan al-Sunnah.

————————————–
22 Al-Qaradawi, Yusuf(1995), Fi al-Fiqh al-Awlawiyyat, Qahirah: Maktabat Wahbah, hal. 266-267
23 Ibid., hal. 77
24 Ibid., hal. 78. Sila baca bahagian al-Awlawiyyat fi al-Ara’ al-Fiqhiyyah keseluruhannya dari hal. 75-80,
pesanan yang sangat baik untuk para pendakwa yang terlibat dengan isu-isu khilafiyyah.

Petikan :

http://www.islam.gov.my/ajaransesat/pdf/bahaya%20anti%20mazhab.pdf

Last Updated on Wednesday, 23 June 2010 23:26