Bahaya anti mazhab PDF Print E-mail
Written by Mohd Aizam Mas’od   
Friday, 25 June 2010 00:00

Mohd Aizam Mas’od
Caw. Aqidah Bah. Penyelidikan JAKIM

Tiada keraguan bahawa Malaysia ialah sebuah Negara Islam yang berpandukan
dasar Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Aqidah, syariah dan akhlak ummah sentiasa
dipelihara agar selari dengan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam dasar
tersebut. Di dalam memandu umat Islam agar sentiasa berada di landasan yang
betul, para ulama Ahli Sunnah amat mementingkan pegangan terhadap disiplin ilmu.

Dalam soal menjalankan ibadat, umat Islam telah sepakat bahawa al-Qur’an dan al-Sunnah tetap menjadi dua sumber utama syariat yang wajib ditaati dan diamalkan.

Kedua-duanya merupakan perlembagaan yang seharusnya menjadi pedoman dan rujukan oleh umat Islam di persada bumi ini. Fakta ini tidak mungkin dimungkiri oleh sesiapa pun kecuali yang kafir dan munafiq.

Pada asalnya setiap muslim wajib untuk mengambil hukum-hakam Allah SWT secaralangsung daripada kedua sumber utama itu. Bagaimanapun realiti membuktikan tidak semua umat Islam mampu untuk mengeluarkan hukum-hakam secara langsung daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ternyata hanya segelintir yang berkemampuan dan berkelayakan melakukannya seperti imam-imam mazhab yang empat. Imam Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali.

Para ulama Usul bersepakat bahawa orang yang berkemampuan mengistinbat
hukum secara langsung daripada sumbernya, wajib berpegang dan mengamalkan hasil ijtihadnya. Mereka tidak dibenarkan sama sekali untuk mengambil hasil ijtihadulama yang lain. Kewajipan beramal dengan hasil ijtihadnya itu mutlak sama ada ia menepati hakikat sebenar yang dikehendaki oleh Allah SWT mahupun tidak. Apayang penting seseorang mujtahid itu telah benar-benar memerah segala keupayaannya untuk memahami nas-nas syara‘ berlandaskan metodologi ilmu yangditetapkan.

Imam al-Ghazali mengatakan di dalam kitabnya al-Mustasfa: “Para ulama Usul
bersepakat bahawa apabila seseorang sudah berijtihad dan telah memperoleh
hukum berasaskan dugaannya (zann) yang kuat, maka dia tidak harus lagi bertaqlid
kepada mujtahid lain yang menyalahi ijtihadnya. Dan dia tidak boleh beramal dengan
ijtihad yang lain serta meninggalkan ijtihadnya sendiri”1.

Begitu juga pandangan ahli Usul yang lain seperti Ibn al-Humam. Beliau menyebut di dalam kitabnya al-Tahrir: “Seorang mujtahid apabila telah berijtihad dalam sesuatu hukum, maka ia dilarang untuk bertaqlid dalam hukum itu menurut kesepakatan ulama Usul”2.
Begitulah kedudukan seorang mujtahid terhadap hukum Allah SWT yang tertera di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Tahap seseorang mujtahid sudah pasti tidak
menyamai golongan yang tidak berkemampuan untuk berijtihad atau dipanggil
sebagai golongan awam.

———————————-
1 Al-Ghazali(1973), al-Mustasfa, Mesir: Maktabat Tijariyyah al-Kubra, j.2, hal. 121.
2 Ibn al-Humam, al-Tahrir fi Usul al-Fiqh, Mesir: Mustafa al-Babi al-Halabi, j.4, hal.535.

Awam bermaksud berpengetahuan untuk mengamalkan hukum-hakam Islam yang tersedia namun tidak berkemampuan mengeluarkan
sendiri setiap hukum dari sumbernya. Pengertian ini tidak sesekali bermaksud
menafikan kewajipan beramal bagi orang yang tiada kemampuan berijtihad. Bagi
golongan ini para ulama mewajibkan mereka mengikuti atau bertaqlid kepada
mazhab. Bagaimanapun pandangan ini disanggah oleh golongan yang mengatakan haram berbuat demikian.

Di sini berlaku perselisihan pandangan di kalangan umat Islam. Ia terbahagi kepada dua kumpulan besar:-

Pertama: Segolongan ulama Usul yang berpendapat bahawa bermazhab itu haram. Umat Islam wajib mengikuti apa yang ada di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah secara langsung tanpa perantaraan mazhab. Antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Khajandi, Nasiruddin al-Albani dan Ibn Hazm.

Kedua: Majoriti ulama Usul yang berpendapat bahawa bermazhab bagi orang awam itu harus. Bahkan bagi orang awam yang benar-benar murni, bermazhab itu wajib.

Cuma mereka berbeza pendapat, apakah mengikuti mazhab itu dalam erti kata taqlid atau iitiba‘.

GOLONGAN MENOLAK MAZHAB

Bagi golongan pertama, bermazhab itu haram secara mutlak. Sesetengah mereka sehingga mendakwa pengikut mazhab empat itu kafir dan sesat.

Pendapat ini terkandung di dalam risalah yang berjudul “Hal lilmuslim mulzamun bittiba’ mazhabin mu’ayyan minal mazahibul arba’ah”. Penulisnya ialah Muhammad Sultan al-Ma‘sum al-Khajandi al-Makki.

Risalah tersebut dinukil oleh Dr. Said Ramadan al-Buti di dalam kitabnya berjudul “Alla Mazhabiyyah Akhtaru Bid’atin Tuhaddidu al-Syariat al-Islamiyyah” yang menyimpulkan bahawa pendapat al-Khajandi tersebut amat menyesatkan dan merbahaya.

Bagi al-Buti, beliau mendokong pendapat bermazhab itu harus. Bahkan bagi orang awam hukumnya wajib.

Antara kenyataan al-Khajandi adalah, “Islam tidak lebih daripada kumpulan-kumpulan hukum yang dapat dihitung serta sedikit sekali dan boleh difahami oleh setiap orang Arab atau setiap muslim…dan sesungguhnya mazhab-mazhab itu tidak lebih daripada pendapat-pendapat ahli ilmu di dalam memahami sesuatu masalah. Bagi pendapat-pendapat ini, sama ada Allah mahupun RasulNya tidak mewajibkan kepada seseorang pun untuk mengikutinya”3.

——————————
3 Al-Buti, Sa‘id Ramadan (1981), Alla mazhabiyyah, Pent. Anas Tahir Syamsudin, Surabaya: Bina Ilmu, hal. 66

Dapat difahami dari kenyataan di atas, al-Khajandi mahu mengatakan alasan
ketidakperluan mazhab itu kerana ajaran Islam itu sedikit sekali dan sangat mudah serta sederhana sekali sehingga setiap orang mampu untuk memahaminya secara langsung daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Justeru itu tiada keperluan buat umat Islam untuk bermazhab dengan para mujtahid, kerana mereka sendiri dibenarkan untuk menggalinya dari al-Qur’an dan al-Sunnah.

Kenyataan ini mirip dengan kenyataan seorang orientalis Jerman bernama Scacht yang terkenal sebagai seorang yang amat benci terhadap Islam. Dia pernah berkata,: “Sesungguhnya fiqh Islam yang disusun oleh para imam mazhab itu adalah karya hukum ciptaan otak yang istimewa yang disandarkan kepada Kitab dan Sunnah.4”

Khajandi juga mengatakan: “Barangsiapa berpegang dengan semua pendapat Abu
Hanifah, Malik, Syafi’i, Ahmad atau yang lainnnya dan tidak berpegang dengan apa
yang ada di dalam al-Kitab dan al-Sunnah, maka bererti dia telah menyalahi ijma‘
umat dan mengikuti jalan yang tidak ditempuh oleh orang mukmin”5.

Khajandi berkata lagi di tempat lain, “…ikut kepada mazhab termasuk perbuatan
bid’ah, sesat dan kufur, kerana mengikut orang tersebut bererti menganggap imamimam
dan tokoh mazhab sebagai Tuhan selain Allah.6”

Begitu juga A. Hassan Bandung pernah mengungkapkan perkataan yang senada
dengan huraian tersebut, beliau berkata, “Bermazhab sama maknanya dan maksudnya dengan bertaqlid. Kedua-dua itu dilarang oleh Allah, Rasul, Sahabat
bahkan oleh imam-imam yang ditaqlidi”7.

Selanjutnya beliau mengatakan, “Keluar dari mazhab itu bukan haram, tetapi wajib.
Masuk sesuatu mazhab itu bukan wajib tapi haram.8”

Kesemua kenyataan beliau ini didapati mengarah kepada satu makna dan tujuan
iaitu bermazhab adalah haram.

Ibn Hazm turut berpendirian serupa dengan kedua ulama tersebut. Di dalam kitabnya al-Muhalla beliau menyebut, “Agama Islam yang wajib diikuti oleh setiap orang tidak boleh diambil kecuali dari al-Qur’an dan al- Sunnah yang sahih”9.
“Seseorang muslim tidak boleh mengikuti (mujtahid) sama ada yang masih hidup
mahupun yang telah meninggal dunia dan setiap orang mesti (wajib) berijtihad
sesuai dengan kemampuannya”10.

Memahami realiti umat Islam yang wujud pada hari ini, pendapat golongan yang
menolak mazhab sukar untuk diterima bahkan amat berbahaya terhadap kemurnian syariat Islam. Syariat Islam bakal dicemari dan dikotori kiranya ajaran yang tertera di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang berbahasa Arab itu diistinbat dan digali oleh orang yang tidak berkeahlian sedikitpun. Fakta ini tidak boleh dimungkiri.

Perlu diakui, majoriti umat Islam di dunia memiliki ilmu pengetahuan yang amat
minimum dalam soal keagamaan. Walaupun umumnya berpendidikan tinggi, namun itu bukan pra-syarat untuk mengizinkan mereka memperlakukan apa sahaja terhadap nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Sebaliknya pemahaman dan penelitian ke atas nas-nas syara‘ memerlukan penguasaan yang tinggi di dalam disiplin ilmuilmu Islam tertentu seperti Bahasa Arab, Usul Fiqh, Ulum al-Hadith, Usul al-Tafsir dan lain-lain.

—————————
4 Ibid, hal. 68
5 Ibid, hal. 73
6 Ibid, hal. 27
7 A. Hassan Bandung(1980), Risalah al-Mazhab, Bangil: Pustaka Abdul Muis, hal. 12
8 Ibid, hal. 23
9 Ibn Hazm(1965), al-Muhalla, Beirut: Maktabat Tijariyyah, j.1, hal. 50
10 Ibid, hal. 66

Bayangkan dengan ketidakmampuan itu, mereka tetap dipaksakan berijtihad dan
diharamkan mengikut mazhab. Bagaimana mungkin mereka dapat melaksanakan ajaran agama yang menjadi beban kewajipan ke atas setiap muslim. Dalam hal ini, al-Amudi berkata, “…orang yang tidak memiliki kemampuan berijtihad, bila terjadinya sesuatu masalah (hukum) maka baginya ada dua kemungkinan. Pertama: Dia tidak terkena kewajipan melakukan apa-apa sama sekali (tidak wajib beribadah), hal ini menyalahi ijma’. Kedua: Dia terkena kewajipan melakukan ibadah, (kalau demikian) bererti dia harus meneliti dalil-dalil yang menetapkan sesuatu hukum atau dia harus taqlid. Yang pertama jelas tidak mungkin. Maka tiada kemungkinan lain selain taqlid dan itulah yang menjadi kewajipan dia di kala menemui sesuatu masalah yang memerlukan istinbat hukum11.

GOLONGAN MENGHARUSKAN MAZHAB

Manakala golongan kedua pula sepakat tentang keharusan mengikuti pendapat dan fatwa para imam mazhab. Mereka hanya berselisih pendapat dalam hal; apakah keharusan bermazhab itu dalam erti taqlid atau ittiba‘.
Majoriti ulama Usul berpendapat bahawa umat Islam yang belum mencapai tahap mujtahid wajib bermazhab. Bagi mereka tiada perbezaan antara istilah taqlid dan ittiba‘, keduaduanya memberi kesimpulan yang sama iaitu bermazhab. Mereka juga tidak membezakan antara orang awam yang murni dengan yang berpengetahuan tetapi belum sampai ke tingkatan mujtahid, kedua-duanya tetap dianggap awam. Kewajipan orang awam adalah bertanya kepada ahli ilmu iaitu mujtahid. Apabila seseorang bertanya atau mengikuti seseorang mujtahid (mazhab) maka ia disebut bermazhab.

Dalam hal ini Ibn al-Subki dalam kitabnya Jam‘ul Jawami‘ mengatakan,
“Selain mujtahid mutlak, sama ada dia awam mahupun lainnya, wajib bertaqlid
kepada mujtahid kerana berdasarkan ayat “hendaklah kamu bertanya jika kamu tidak
mengetahui”12.

Al-Amudi pula mengatakan, “Orang awam dan orang yang tidak memiliki keahlian
berijtihad, walaupun dapat menghasilkan sebahagian ilmu yang mu’tabar dalam
berijtihad, dia wajib mengikuti pendapat para mujtahid dan berpegang dengan fatwafatwanya, demikian menurut ahli tahqiq dari ulama usul”13.

Manakala Ibn al-Humam berkata, “Selain mujtahid mutlak, wajib bertaqlid walaupun
dia sebagai mujtahid sebahagian (masalah fiqh) atau sebahagian ilmu, hal tersebut
berdasarkan pendapat bahawa ijtihad boleh berlaku dalam sebahagian masalah
sahaja.14”

Khudhari Bek pula berpandangan, “Wajib atas orang awam meminta fatwa dan
mengikuti para ulama”15.

———————————–
11 Al-Amudi(1955), al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, Qahirah: Muassasat al-Halabi wa Syuraka’uhu, j.5, hal. 198
12 Ibn al-Subki(1965), Jam‘ul Jawami‘, Surabaya: Syarikat Maktabah Said bin Nubhan wa Awladuhu, j.2, hal.
393
13 Al-Amudi, op.cit., hal. 197
14 Ibn al-Human, op.cit., hal. 549
15 Khudhari Bek(1960), Usul al-Fiqh, Mesir: Maktabat Tijariyyah al-Kubra, hal. 382

Dari kenyataan para ulama Usul tersebut, ternyata bahawa kewajipan bermazhab bagi selain mujtahid mutlak adalah wajib. Sama ada orang awam murni mahupun awam dalam erti belum sampai ke darjat mujtahid mutlak, walaupun dia mampu berijtihad dalam sebahagian masalah. Ini berdasarkan pendapat berijtihad itu boleh berlaku dalam sebahagian masalah fiqh.

Menurut Ibn al-Humam pendapat ini adalah pendapat yang benar. Bagi pendapat yang mengatakan ijtihad itu mesti pada keseluruhan masalah fiqh, maka kewajipan bermazhab bagi yang bukan mujtahid itu lebih mutlak lagi, kerana baginya tiada istilah ijtahid sebahagian, malah ijtihad mesti pada keseluruhan masalah fiqh.

Demikian juga golongan ini tidak mensyaratkan keharusan mengetahui dalil atau
dasar hukum yang menjadi sandaran pengambilan sesuatu hukum si mujtahid yang diikuti.

Sementara itu golongan lain mewajibkan orang yang bermazhab itu mengetahui dalil-dalil yang dipakai si mujtahid yang hendak diikuti. Ia diistilahkan sebagai ittiba‘ dan bukan taqlid (ikutan) semata-mata.

Ittiba‘ bermaksud mengikuti pendapat seseorang mujtahid (mazhab) dengan
mengetahui dasar hukum pendapatnya itu. Lebih jelas lagi erti ittiba‘ dan taqlid yang dimaksudkan ialah, “Taqlid itu bukan ittiba‘. Ittiba‘ ialah mengikuti seseorang kerana jelas dalilnya dan sah mazhabnya. Manakala taqlid ialah mengikuti seseorang dan mengambil pendapatnya tanpa mengetahui sumber pengambilannya serta menegah
daripada mengikuti selainnya walaupun telah nyata bahawa yang diikutinya itu
tersilap”16.

Kenyataan di atas menegaskan bahawa taqlid yang dilarang ialah mengikuti
pendapat seseorang mujtahid dengan cara membabi buta. Iaitu menerima apa
sahaja yang datang daripada mazhab walaupun dalilnya lemah. Ditambah pula
dengan ketaksuban yang tinggi walaupun ternyata dalil pendapat yang lain lebih kuat dan kukuh.

BERPEGANG KEPADA SATU MAZHAB

Al-Syaukani berkata, “Para ulama yang mengharuskan taqlid berselisih pendapat,
adakah wajib ke atas orang awam untuk berpegang kepada mazhab tertentu (satu
mazhab sahaja)? Berkata segolongan: Wajib, Ilkia al-Hirasi memilih pendapat ini.
Berkata yang lain: Tidak wajib, ia dikuatkan (tarjih) oleh Ibn Burhan dan al-Nawawi, ia
adalah mazhab Hanbali. Mereka mengambil dalil dengan mengatakan bahawa
Sahabat r.a.h. tidak memungkiri golongan awam untuk mengikuti sesetengah mereka
pada sebahagian masalah dan sesetengah yang lain pada masalah yang lain.
Golongan Salaf terdahulu juga bertaqlid kepada yang sesiapa yang dikehendaki
mereka sebelum lahirnya mazhab-mazhab”17.

Wahbah al-Zuhaili telah membincangkan isu ini dengan membahagikan pandangan ulama Usul kepada tiga. Pendapat pertama mengatakan wajib beriltizam dengan mazhab tertentu dengan kepercayaan penuh bahawa ia adalah benar. Oleh itu wajib ia beramal berdasarkan apa yang ia percayai.

—————————-
16 Hasbi, al-Siddiqi, Pokok-pokok Pegangan Imam-imam Mazhab dalam Membina Hukum Islam, Jakarta: Bulan
Bintang, hal. 157
17Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah(1427), Kuwait: Wizarat al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, j.13,
hal. 164

Kebanyakan ulama Usul pula berpandangan tidak wajib bertaqlid kepada mazhab tertentu dalam kesemua masalah dan peristiwa yang dihadapi. Bahkan harus untuk mengikuti atau bertaqlid dengan mana-mana mujtahid mengikut kehendaknya. Walaupun dia seorang penganut kepada mazhab tertentu seperti mazhab Abu Hanifah atau Syafi’i dan selain keduanya, tiada kewajipan untuk terus menerus mengikutinya. Malah harus baginya untuk berpindah dari mazhabnya ke mazhab yang lain. Bererti tiada kewajipan melainkan apa yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Al-Zuhaili menyifatkan ini adalah pandangan yang paling rajih di kalangan para ulama Usul.

Pendapat ketiga yang dipelopori oleh al-Amidi dan al-Kamal ibn al-Humam pula
memperincikan masalah ini seperti berikut; sekiranya seseorang itu sentiasa
melazimi beramal bagi sesetengah masalah mengikut mazhab tertentu, maka tidak harus baginya untuk bertaqlid kepada yang lain dalam masalah tersebut.

Manakala pada masalah lain yang tidak melibatkan keiltizaman dengan mazhab anutannya maka ia harus untuk mengikuti mazhab yang lain. Bererti, tidak wujud di dalam hukum syara‘ yang mewajibkan supaya hanya mengikuti apa yang telah menjadi kelazimannya. Sebaliknya syara‘ mewajibkan supaya mengikuti para ulama tanpa perlu mengkhususkan ulama tertentu sahaja18.

Melalui perbahasan di atas, dapat diketahui bahawa bukan mudah untuk memahami dan mempraktikkan taqlid mazhab. Di sana ada syarat dan permasalahannya.

Persoalannya sejauhmanakah masyarakat awam pada hari ini khususnya di
Malaysia, mampu mengamalkan taqlid kepada mazhab.

Di dalam himpunan fatwa al-Azhar terdapat nukilan daripada kata-kata Ibn Amir Hajj
yang menyebut, “…bahkan tidak sah bagi orang awam itu bermazhab walaupun dia
tamazhab (menyandarkan dirinya dengan mazhab tertentu) kerana bermazhab itu
berlaku sekurang-kurangnya kepada yang berkemampuan untuk meneliti,
mengeluarkan dalil dan mengkaji mazhab-mazhab mengikut keupayaannya. Atau
sesiapa yang membaca kitab tentang perkara-perkara furu‘ sesuatu mazhab dan
mengetahui fatwa dan pandangan imamnya. Adapun sesiapa yang tidak berkeahlian
sedemikian, tetapi (mengaku dirinya) dengan mengatakan aku (mazhab) Hanafi, aku
(mazhab) Syafi’i atau selainnya, ia tidak akan menjadi seperti itu hanya dengan
ucapan semata-mata. Sebagaimana jika dia berkata aku ahli fiqh, ahli nahu atau
penulis, dia tidak akan menjadi seperti itu hanya dengan ucapan…”19

Berdasarkan pandangan ini, Syeikh Hasnain Muhammad Makhluf menyimpulkan ia menjadi alasan mengapa popular di kalangan ulama ungkapan, “al-‘ami la mazhaba lahu” bermakna “orang awam tiada mazhab baginya”. Lalu beliau menukilkan pendapat dari kitab al-Bahr di dalam bab ‘Qadha’ al-Fawait’ yang menyebut, “…dan sekiranya seorang awam tiada baginya mazhab tertentu, maka mazhabnya ialah fatwa muftinya, (malah) jika dia tidak meminta fatwa sesiapa pun tetapi sesuai (amalannya itu) dengan mana-mana mazhab mujtahid, ia sudah memadai”20.

———————————
18 Al-Zuhaili, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Dimasyq: Dar al-Fikr, j.1, hal. 74
19 Fatawa al-Azhar, Mesir: Wizarat al-Auqaf al-Misriyyah, j.7, hal. 173
20 Ibid.

Kenyataan di atas jelas menunjukkan bukan mudah untuk seseorang mengakui
dirinya bermazhab. Sekurang-kurangnya seorang penganut mazhab itu mengetahui hukum-hakam furu‘ yang difatwakan menurut mazhab anutannya.

Namun di peringkat orang awam, ramai di kalangan mereka sendiri tidak mampu untuk menguasai perkara ini. Kebanyakan awam hanya sekadar bertanya kepada manamana guru yang dipercayainya setiap kali bertembung dengan masalah-masalah furu‘ tertentu di dalam kehidupannya.

Di dalam himpunan fatwa al-Azhar, Syeikh Hasnain Muhammad Makhluf meletakkan kaedah bermazhab bagi orang awam ialah, “mazhab al-‘ami fatwa muftihi al-ma‘ruf bil ‘ilmi wa al-‘adalah” bermaksud “mazhab bagi orang awam ialah fatwa muftinya (gurunya) yang dimaklumi dengan keilmuan dan kejujurannya”.

Perbahasan ini sengaja dibentangkan di sini supaya golongan anti mazhab
memahami dan akur bahawa mengikuti mazhab bukanlah mudah seperti yang
disangka. Ia bukan taqlid membabi buta. Ia juga bukan bererti sengaja
membelakangkan al-Qur’an dan al-Sunnah kerana mendewakan imam dan mazhab.

Sebaliknya ia adalah soal kemampuan dan keupayaan seseorang awam. Sekiranya soal bermazhab sendiri tidak mampu ditunaikan sepenuhnya oleh seorang awam, bagaimana mungkin golongan ini dibebankan pula dengan perintah supaya mengambil hukum secara langsung daripada al-Qur’an dan al-Sunnah? Mampukah mereka?

MAMPUKAH BERAMAL TANPA MAZHAB

Mutakhir ini wujud fenomena di kalangan muda-mudi yang ghairah untuk beramal hanya melalui pembacaan terus daripada al-Qur’an dan al-Sunnah.

Setiap hokum yang diketengahkan oleh kitab-kitab fiqh mazhab akan dipersoalkan dalil dan sumbernya. Fenomena ini membuatkan para ilmuan agama terpaksa memberi dua pendekatan jawapan. Sama ada menjawab berpandukan kitab fiqh mazhab atau terus membentangkan dalilnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah serta sumber-sumber hukum yang lain.

Di sini timbul persoalan, adakah golongan ini benar-benar ingin mengetahui dalil iaitu bagi memperkuatkan kefahamannya terhadap hukum? Atau, adakah mereka sudah mula meragui fiqh berlandaskan mazhab dan hanya mahu memahami hukum terus daripada sumbernya iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah.

Sekilas pandang, ia suatu perkembangan yang baik, kerana ummah ingin belajar
mengetahui dalil. Atau lebih tepat ingin terus belajar melalui al-Qur’an dan al-
Sunnah. Sememangnya tidak dapat diragukan bahawa kita diwajibkan berpegang kepada kedua-duanya. Namun apa akan terjadi jika seseorang awam diberikan suatu manhaj yang tidak tahu digunakan. Manhaj tersebut ialah belajar secara‘langsung’ daripada al-Qur’an dan al-Sunnah!

Sebagai seorang awam yang tidak mendalami agama secara rinci, tidak mendalami nas-nas syara‘ secara halus, bahkan tidak bertemu nas-nas syara‘ melainkan hanya dalam jumlah yang amat terbatas. Wajarkah orang seumpama ini mengatakan, itu tidak menepati al-Sunnah. Itu tiada dalam al-Qur’an. Itu hanya rekaan tradisi masyarakat Melayu. Itu hanya adat semata-mata. Itu bid’ah! Dan pelbagai lagi telahan yang mungkin akan dibuat kerana berpandukan manhaj yang diajar oleh gurunya.

Bukankah suasana seperti ini boleh membawa mereka terjebak ke dalam
pendustaan di atas nama Allah dan Rasul-Nya. Mungkin banyak nas-nas syara‘ yang boleh diistidlal terhadap sesuatu hukum syara‘, tetapi disebabkan kejahilannya tentang nas tersebut atau ketidakupayaannya dalam berijtihad dan memahami nas maka dia menafikan kewujudan sesuatu hukum.

Oleh itu mengajak masyarakat untuk meninggalkan mazhab atas alasan kembali
kepada al-Qur’an dan al-Sunnah adalah suatu usaha yang sia-sia. Mazhab
seharusnya difahami sebagai sebuah disiplin ilmu (manhaj) untuk kita memahami al-Qur’an dan al-Sunnah. Di Malaysia, kita berpegang kepada mazhab Syafi’I khususnya dalam bab ibadat dan munakahat atau disebut juga fardhu ’ain.

Namun dalam bidang-bidang lain seperti mu’amalat, jinayat, kehakiman dan perundangan serta isu-isu kontemporari, jelas menunjukkan kerajaan dan umat Islam tidak terikat hanya kepada mazhab Syafi’i. Oleh itu tuduhan bahawa umat Islam di Malaysia mewajibkan berpegang kepada satu mazhab dalam kesemua masalah adalah sesuatu yang keterlaluan.

Berpegang kepada mazhab Syafi’i dalam bab fardhu ’ain sepertimana yang
diamalkan sekarang bukanlah bermakna kita menolak pandangan mazhab-mazhab lain. Pendirian ini dipegang hanyalah berdasarkan ketidakmampuan seseorang untuk beramal dalam ibadatnya. Sememangnya hukum asal berpegang kepada mazhab itu tidak wajib, namun bagi selain mujtahid, beramal dengan fatwa mujtahid (mazhab) adalah wajib memandangkan tiada lagi jalan lain untuk mengetahui hukum syara‘ melainkan dengan mengikuti mazhab.
Dalam hal yang sama, seseorang awam itu juga tidak mampu untuk melakukan tarjih iaitu menilai pendapat atau dalil yang terkuat antara mazhab. Ketidakmampuan itu memerlukannya untuk berpegang kepada mazhab yang dianutinya sahaja.

Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti menegaskan seseorang yang mampu membuat tarjih di antara mazhab-mazhab itu, bermakna dia adalah seorang mujtahid dan keilmuannya sudah tentulah mengatasi keilmuan para mujtahid mazhab-mazhab terdahulu.

Kesimpulannya, hanya dengan penguasaan disiplin ilmu yang tinggi sahaja,
seseorang mampu untuk membuat pemilihan mana yang paling sahih dan paling
benar antara mazhab-mazhab tersebut. Sekaligus perkara ini sudah tentu mustahil berlaku kepada golongan awam.