Haram Kahwini Bekas Mertua PDF Print E-mail
Written by ibnuatiq   
Friday, 11 June 2010 07:26

Soalan :

SEORANG lelaki menikahi seorang wanita tetapi selang beberapa bulan, bertindak menceraikan wanita itu. Dalam tempoh perkahwinan yang singkat itu, lelaki berkenaan belum pernah mengadakan hubungan seks dengan isterinya. Apakah lelaki ini dibolehkan menikahi bekas ibu mentuanya iaitu ibu bekas isterinya itu.


Jawapan :

HARAM seorang lelaki menikahi bekas ibu mentuanya, sama ada dia sudah pernah berjimak dengan anak wanita itu ataupun belum.

Pengharaman ini adalah pengharaman yang berterusan berpandukan ayat ke 23 surah al-Nisa yang bermaksud: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang sudah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu.”

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT tidak membezakan antara mentua yang anaknya sudah disetubuhi atau belum. Dalam Sahih Tafsir Ibn Kathir, diperjelaskan mentua diharamkan dengan hanya semata-mata akad dengan puterinya. (Rujuk Sahih Tafsir Ibn Kathir jilid 2 halaman 473).

Hal ini berbeza apabila seseorang lelaki berkahwin dengan seseorang yang belum pernah disetubuhinya lantas terjadi perceraian ataupun kematian, maka lelaki ini diharuskan berkahwin dengan anak perempuan bekas isterinya itu. Hal ini disebutkan secara tegas dalam ayat yang sama yang menetapkan mengenai wanita-wanita yang haram dikahwini.

Firman Allah berikutnya dalam ayat yang sama : “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang sudah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu dan anak-anak tiri yang dalam peliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu sudah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu sudah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya).

Inilah ketetapan Islam yang dipersetujui kalangan ulama. Selain itu, kita juga memahami dalam kaedah syarak yang disepakati fuqaha` : Akad nikah dengan anak mengharamkan ibu dan bersetubuh dengan ibu mengharamkan anak.

Last Updated on Tuesday, 15 June 2010 06:43