Tok Syeikh Duyung syeikhul ulama Terengganu PDF Print E-mail
Written by Wan Mohd. Shaghir Abdullah   
Monday, 31 May 2010 06:50

SEORANG keluarga Tok Syeikh Duyung ditemu bual di Bukit Bayas, Terengganu. Wan Mohd. Shaghir Abdullah duduk di kanan.

PADA tarikh 13 Februari 2006 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Terengganu telah berlangsung Seminar Kebangsaan Kefahaman Tasawuf Nusantara. Majlis itu dihadiri 1,500 orang. Pada keesokan harinya di dewan yang sama berlangsung pula Peringatan 101 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani yang diberi judul ‘Ulama Bermesra Sultan dan Rakyat (Syeikh Ahmad Al-Fathani dan Sultan Zainal Abidin III)’.

Peringatan ini adalah atas kerjasama pihak KUSZA dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (PENGKAJI). Saya telah diberi kesempatan memberi ceramah di beberapa tempat di Terengganu yang diatur oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Saya dan PENGKAJI terhutang budi atas kerjasama pihak KUSZA dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Kami mengucapkan jutaan terima kasih. Selama seminggu di Terengganu saya berkesempatan menziarahi beberapa makam ulama yang bersejarah di Terengganu dan mewawancara beberapa orang.

Wawancara itu bukanlah yang pertama kali di Terengganu, tetapi adalah lanjutan wawancara yang pernah dijalankan tahun 1976. Ulama Terengganu tidak dapat dipisahkan dengan ulama Patani, termasuk yang diriwayatkan ini, yang digelar orang ‘Tok Syeikh Duyung’.

Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin bin Ya’qub al-Fathani. Lahir di Cabang Tiga, Patani, tahun 1216 H/1802 M, Allahyarham wafat pada hari Khamis, pukul 4.00 petang, 12 Jamadilakhir 1306 H/24 Februari 1889 M.

Saya terkenang kembali hasil wawancara saya di Terengganu pada tahun 1976, terutama dengan Datuk Sansura Pahlawan, tentang nama ‘Duyung’. Ia mengingatkan saya bahawa Pulau Duyung Kecil menjadi tempat keluarga besar ulama Patani berhijrah akibat perang dengan Siam. Di antara yang berhijrah ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama yang banyak menulis kitab yang sangat terkenal itu. Yang digelar ‘Tok Syeikh Duyung’ yang lebih awal ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang kemudian lebih dikenali dengan panggilan ‘Tok Syeikh Bukit Bayas’.

Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin digelar ‘Tok Syeikh Duyung’ kemungkinan kemudian daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani. Ketiga-tiga ulama yang saya sebutkan iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Bukit Bayas dan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin Duyung adalah masih dalam satu lingkungan keluarga yang dekat.

Nama ayahnya ialah Syeikh Wan Muhammad Amin al-Fathani yang digelar dengan ‘Tok Syeikh Qadhi al-Fathani’. Beliau pula ialah anak Wan Ya’qub al-Fathani. Hanya sampai kepada Wan Ya’qub saja nasab dari sebelah ayahnya dapat dikesan. Ibu Tok Syeikh Qadhi (Syeikh Wan Muhammad Amin) bernama Wan Salamah binti Tok Wan Deraud bin Cik Wan Derahim yang kahwin dengan Tok Wan Nik. Ibu Tok Wan Nik ini bernama Wan Dewi binti Tok Kaya Rakna Diraja bin Syeikh Faqih Ali al-Malabari.

Ibu Tok Syeikh Duyung (Syeikh Wan Abdullah) bernama Wan Aminah binti Tok Wan Drahmad bin Tok Wan Derahman bin Tok Kaya Pandak. Tok Kaya Pandak ini nama sebenarnya ialah Wan Ismail bin Nakhoda Wan Kang daripada perkahwinan dengan puteri Laksamana Johor.

Nakhoda Wan Kang yang dimaksudkan di sini adalah nama gelar pada Syeikh Faqih Ali al-Malabari. Ada riwayat menyebut bahawa beliau ini adalah seorang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. yang berhijrah ke Malabar (India) dan selanjutnya berhijrah ke dunia Melayu.

Berkahwin

Riwayat yang lain menyebut bahawa beliau berasal dari negeri Bugis. Syeikh Faqih Ali al-Malabari atau Nik Ali atau Saiyid Ali pertama sampai di Johor telah berkahwin dengan puteri Johor bernama Wan Tijah. Mastautin atau tempat tinggal terakhir Syeikh Faqih Ali al-Malabari ialah di Patani.

Keturunan beliau selain menjadi ulama seumpama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Tok Syeikh Bukit Bayas dan lain-lain, termasuk juga tokoh-tokoh kerajaan seumpama Long Yunus Kelantan.

Tok Syeikh Qadhi al-Fathani (Syeikh Wan Muhammad Amin) adalah seorang ulama yang seangkatan dan sahabat dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) ketiga-tiganya adalah ulama besar. Oleh itu Wan Abdullah mendapat pendidikan daripada Tok Syeikh Qadhi al-Fathani, iaitu ayahnya sendiri yang ketika itu tinggal di Kampung Paya Bunga.

Pada masa yang sama Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin bersahabat dengan Saiyid Muhammad Zainal Abidin (Tukku Tuan Besar) dan selanjutnya belajar dengan Syeikh Wan Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang pada ketika itu tinggal di Bukit Bayas.

Tok Syeikh Qadhi al-Fathani dan Tok Syeikh Bukit Bayas kedua-duanya mendapat kedudukan yang tinggi pada zaman pemerintahan Sultan Omar Terengganu, bahkan kedua-duanya termasuk guru baginda.

Selanjutnya pelajaran dilanjutkan di Mekah kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam masa yang sama sekurang-kurangnya ada tiga orang yang berasal dari Terengganu yang belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang sangat terkenal itu.

Ketiga-tiga mereka kemudian menjadi ulama besar yang terkenal. Mereka ialah Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin, Saiyid Muhammad Zainal Abidin dan Syeikh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu.

Ulama nama yang terakhir ini diriwayatkan berasal dari Kemaman, Terengganu. Beliau merupakan tokoh besar yang menulis salinan karya-karya ulama dunia Melayu. Jumlah manuskrip salinannya seimbang dengan salinan Tok Kelaba yang datang kemudian daripada beliau. Hingga kini belum dijumpai ulama dunia Melayu yang menyalin manuskrip Melayu lebih banyak daripada kedua-duanya.

Setelah pulang dari Mekah pada tahun 1263 H/1846 M, Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin mengambil tempat kedudukan dan pusat aktivitinya di Pulau Duyung Kecil Terengganu. Selain mengajar di Pulau Duyung Kecil, beliau juga mengajar di beberapa tempat di antaranya Paloh, Losong dan Bukit Bayas.

Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyung) seperti ulama-ulama Patani lain tetap mengajar dua jenis kitab, iaitu yang berbahasa Melayu dan berbahasa Arab. Kitab-kitab bahasa Melayu yang diajarkan diutamakan karangan gurunya, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kitab-kitab bahasa Arab yang diajarkan adalah karangan ulama-ulama yang terkenal dalam pelbagai disiplin ilmu. Yang paling diutamakan dalam tasawuf ialah Ihya’ ‘Ulumid Din oleh Imam al-Ghazali

Murid Tok Syeikh Duyung sangat ramai, termasuk yang datang dari luar Terengganu. Ada yang datang dari Patani, seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Brunei, Kalimantan dan lain-lain.

Di antara murid Tok Syeikh Duyung yang menjadi ulama besar lagi terkenal ialah Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, Tukku Paloh dan Haji Wan Muhammad (anak beliau sendiri) yang pernah menjadi Mufti Terengganu setelah Tok Syeikh Duyung wafat. Di kalangan Sultan Terengganu yang pernah menjadi murid Tok Syeikh Duyung ialah Sultan Omar dan Sultan Zainal Abidin III.

Baginda Sultan Omar telah melantik Syeikh Muhammad Amin al-Fathani (Tok Syeikh Qadhi) menjadi seorang pembesar negeri. Pada masa pemerintahan Sultan Terengganu itu anak Tok Syeikh Qadhi yang bernama Haji Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyung) telah dilantik menjadi kadi, sekali gus menjadi penasihat kepada Baginda Sultan Omar.

Pada waktu yang sama gurunya Tok Syeikh Bukit Bayas menjadi mufti. Selanjutnya setelah gurunya itu wafat, Tok Syeikh Duyung dilantik menjadi Mufti Terengganu mulai tahun 1269 H/1853 M hingga beliau wafat pada tahun 1306 H/1889 M.

Sewaktu berlaku Pemberontakan Besut pada 1874, Sultan Omar telah menugaskan Tok Syeikh Duyung ke Kelantan dengan tujuan supaya Sultan Kelantan menghentikan bantuan kepada pemberontakan itu.

Tok Syeikh Duyung bersama-sama anak beliau Haji Wan Muhammad Wan Abdul Qadir dan angkatan kebesaran yang membawa perutusan berangkat ke Kelantan dengan menaiki gajah. Menurut riwayat, perundingan antara Tok Syeikh Duyung dengan Sultan Kelantan mendatangkan hasil yang memuaskan.

Daripada riwayat itu, dapat disimpulkan bagaimana bijaknya seorang ulama menangani sesuatu isu yang besar sehingga seseorang sultan dapat menerima buah fikirannya seterusnya peperangan terhenti dan perdamaian diperoleh.

Riwayat itu pula adalah bukti iaitu Sultan Terengganu mahupun Sultan Kelantan ketika itu terpaksa akur dan patuh atas besarnya kewibawaan seorang ulama yang bergelar Tok Syeikh Duyung. Riwayat ini pula adalah sebagai bukti karamah Tok Syeikh Duyung. Menurut cerita, sesiapa sahaja yang berjumpa dengan beliau, sama ada disengaja ataupun tidak, akan terpahat pada hati memandang beliau sebagai seorang yang sangat hebat.

Tok Syeikh Duyung selain berwibawa dan dihormati oleh Sultan Omar (Sultan Terengganu) dan Sultan Kelantan, beliau sangat berkesan pada hati seorang muridnya yang menjadi Sultan Terengganu berikutnya, iaitu Sultan Zainal Abidin III. Tok Syeikh Duyung pula sangat kasih kepada muridnya itu sama ada sebelum menjadi sultan mahupun sesudahnya.

Tambatan kasih sayang daripada guru kepada murid atau sebaliknya daripada murid kepada guru dalam istilah tasawuf dinamakan dengan ‘rabithah’. Rabithah yang dimaksudkan telah berlaku antara Nabi Muhammad s.a.w. terhadap para sahabatnya dan sebaliknya.

Sembahyang hajat

Maksud perkataan Saidina Abu Bakar as-Siddiq terhadap Nabi Muhammad s.a.w.: “Aku kasih dalam dunia tiga perkara, duduk bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w., membelanjakan hartaku untuk Nabi Muhammad s.a.w. dan mengucapkan selawat atas Nabi Muhammad s.a.w.”

Oleh itu sewaktu pertabalan Sultan Zainal Abidin III menjadi Sultan Terengganu pada 18 Disember 1881, Tok Syeikh Duyung telah melakukan sembahyang hajat dengan doa yang bersungguh-sungguh untuk keselamatan Sultan Zainal Abidin III, semua rakyat dan kerajaan yang di bawah pemerintahan baginda.

Sesuatu pemerintahan Islam akan selamat apabila penguasa tertingginya dapat bekerjasama dengan ulama. Ulama yang membawa selamat dan berkat ialah ulama yang dapat memberi nasihat kepada pemerintah, berani berkata benar walaupun terhadap penguasa yang zalim.

Sesuatu pemerintahan Islam dan rakyat akan binasa apabila para ulamanya tidak berani memberi nasihat yang benar kepada pemerintah. Sesuatu pemerintahan Islam akan lebih binasa apabila pemerintahnya memusuhi ulama yang berani berkata benar seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.