Hati tak tenteram selagi diselubungi dosa PDF Print E-mail
Written by Drs Wan Aminurrashid W Abd Hamid   
Sunday, 03 April 2016 22:58

Mukmin yang beriman akan berusaha bersungguh-sungguh menjauhi maksiat kerana perasaan malu kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Seorang hamba apabila melakukan sesuatu kesalahan (dosa), maka dititikkan dalam hatinya satu titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam itu hingga menutupi hatinya. Itulah diistilahkan 'ar-Raan' yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (mafhumnya): ''sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka". (Riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW menerangkan menerusi sabdanya itu bahawa amalan maksiat amat berpengaruh terhadap hati Mukmin di mana ia menjadi punca hati Mukmin itu menjadi hitam dan gelap, dapat merosakkan sendi keimanan dan menghapuskan pahala yang dikumpul Mukmin. Adat manusia mengisi waktunya siang dan malam dengan amalan maksiat, sama ada maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya iaitu meninggalkan perintah Allah seperti solat lima waktu, ataupun melakukan larangan Allah seperti berjudi, berzina, minum arak dan sebagainya. Maksiat juga berpunca daripada anggota tubuh seperti suka ghibah, memfitnah, menipu, menatap lawan jenis (tidak halal) dengan bernafsu, sumbang mahram, mengadu domba, membuat tuduhan liar dan pelbagai perbuatan tercela lainnya.

Seseorang Mukmin yang benar-benar beriman pasti bersungguh-sungguh menjauhi sebarang bentuk maksiat. Pertama kerana beliau tahu Allah SWT murka terhadap sebarang bentuk perbuatan maksiat dan kejahatan. Kedua, perasaan malunya kepada Allah SWT kerana melakukan amalan yang dibenci-Nya sedang dia tahu bahawa Allah SWT Maha Melihat dan sentiasa mengawasinya setiap saat.

Bahayakan hati, fizikal

Ulama' mengatakan bahawa maksiat sangat berbahaya terhadap hati dan fizikal. Sesiapa yang masih hidup dengan bergelumang maksiat, dia hanya akan merosak kehidupannya dan membawa kecelakaan di dunia dan akhirat. Banyak pengaruh buruk akibat maksiat antaranya seseorang itu akan menemukan perasaan terasing, yakni antara pelaku maksiat dengan Allah SWT. Seseorang Mukmin yang bergelumang maksiat tidak mungkin dapat melakukan ketaatan kepada Allah. Sebaliknya, dia akan menjadi hamba syaitan, dan dia akan menjadi terasing dan akan jauh daripada mendapat petunjuk. Keterasingan itu tidak akan dapat diganti dengan segala bentuk kenikmatan apapun di dunia ini. Apa juga kelazatan walau disatukan, tetap tidak akan dapat memberinya kepuasan. Akibatnya, ia akan terasa hidupnya sangat sengsara.

Seorang ahli makrifat mengatakan: "Jika kamu menemukan keterasingan dalam dirimu disebabkan perbuatan dosa, maka bersegera tinggalkan dosa dan maksiat. Tiada hati yang tenteram dengan perbuatan dosa". Seorang Mukmin juga tidak akan mendapat menggapai takwa selagi maksiat menjadi amalan hidupnya. Insaflah bahawa segala amal kejahatan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat dan pelakunya akan menerima azab seksaan Allah SWT. Pelaku maksiat sentiasa resah Saidina Ali berkata: "Hari ini (di dunia) adalah masa beramal (soleh) dan tidak ada hisab padanya, manakala hari esok pula (di akhirat) adalah waktu perhitungan (hisab) dan tidak ada peluang untuk beramal".

Pelaku maksiat juga akan sentiasa berperasaan resah, dihantui dosa. Sementara akal tidak lagi berfikiran jernih. Orang yang bergelumang maksiat dibimbangi mati dalam keadaan menimbun dosa dan tidak sempat bertaubat. Maka, seorang Mukmin jangan menganggap remeh suatu dosa atau maksiat yang diperbuat kerana dibimbangi kebaikan dan ibadahnya akan terhapus disebabkan perbuatan dosanya.

Terpedaya dengan syaitan

Mukmin yang menganggap remeh suatu dosa, bererti dia telah terpedaya oleh syaitan walaupun orang berkenaan telah banyak beramal. Tsauban berkata, Nabi SAW bersabda (mafhumnya) : "Aku benar-benar melihat di antara umatku pada hari kiamat nanti, ada yang datang dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih, lalu Allah menjadikannya seperti debu berterbangan (kebaikan itu tiada nilainya), Tsauban bertanya, ya Rasulullah, jelaskan kepada kami siapa mereka itu agar kami tidak seperti mereka sementara kami tidak mengetahui! Baginda bersabda, mereka adalah saudara kalian dan sebangsa dengan kalian, mereka juga bangun malam seperti kalian, akan tetapi apabila mendapat kesempatan untuk berbuat dosa, mereka melakukannya". (Riwayat Ibnu Majah).