Soalan ini lazimnya selalu berlegar dalam minda sejurus pagi menjengah. Apa yang dilihat malam tadi nampak kabur, bercampur baur dengan bayangan yang seakan jelas. Hati cuba mencari jawapannya kerana manusia tidak mampu menanggung misteri yang terkunci dalam minda. Indah sekali Islam yang dibawa Rasulullah SAW iaitu ketika manusia meraba-raba mencari maksud mimpinya, baginda SAW selaku wakil Allah yang bertauliah merungkaikan misteri berkaitan mimpi dengan sabdanya:

“Apabila waktu (kiamat) semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang Muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya. Mimpi orang Islam adalah satu bahagian daripada 45 bahagian kenabian. Mimpi itu tiga jenis: mimpi yang benar adalah perkhabaran gembira daripada Allah, mimpi gangguan daripada syaitan (untuk menyedihkan) dan mimpi yang dipengaruhi oleh jiwa seseorang (psikologi). Sekiranya kamu bermimpi sesuatu yang tidak kamu sukai, maka bangunlah bersolat dan usahlah diceritakan mimpi itu kepada manusia,” -Sahih Muslim.

Jenis-jenis mimpi:

Mimpi mainan tidur – banyak dipengaruhi oleh emosi dan psikologi. Anda boleh cuba eksperimen mudah bagi menghadiahkan mimpi jenis ini kepada teman anda. Bagaimana? Siram air kepada teman anda yang sedang nyenyak tidur, besar kemungkinan mimpinya berkisar dalam lingkungan air.

Saya pernah menonton dokumentari berkaitan ular tedung ganas dari Mesir. Sejurus selepas itu, saya bermimpi sang ular menyeringai ganas ke arah saya. Kuat sekali memori sang ular terpahat dalam minda saya sehingga bayangannya menjengah masuk ke dalam mimpi. Ketika paginya saya pasti sang ular yang muncul dalam mimpi itu adalah imbasan memori ular yang ditonton dan bukannya “petanda saya didengki atau disihir sesiapa.”

Mimpi jenis ini dipanggil “Adghathu Ahlam” atau mimpi mainan tidur sebagaimana jawapan mudah para menteri Mesir menyimpulkan mimpi yang berterusan menghantui sang raja:

“Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi”. Mereka menjawab: “Yang demikian itu ialah mimpi yang bercampur aduk dan kami bukanlah orang yang mengetahui mimpi (yang sedemikian) itu,” (Yusuf[12:43-44]).

Ayat di atas menyebut ia adalah mimpi yang bercampur aduk kerana sukar dilihat hujung atau pangkalnya. Orang yang mendapat mimpi ini ketika sedar pada awal paginya pasti kebingungan kerana mimpinya berserabut dan bercampur aduk. Bahkan perkataan “Adghath” sendiri merujuk kepada himpunan rumput jerami yang berserabut susun aturnya sama seperti serabutnya mimpi jenis ini (Tafsir al-Razi). Hatta jika anda bermimpi dihadiahkan keris Taming Sari oleh Hang Tuah sekalipun, itu mungkin boleh berlaku kerana minat mendalam terhadap hikayatnya.

Mimpi gangguan syaitan iaitu makhluk yang sudah mengikat janji untuk merosakkan manusia sehingga kiamat. Misinya ini berlaku secara rohani, mental dan fizikal. Serangan mental dan emosi paling mudah dijalankan kerana syaitan adalah makhluk yang lain jisimnya. Laluan perjalanan mereka merentas tubuh manusia melalui pembuluh darah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya syaitan (mampu) bergerak dalam (tubuh) manusia melalui pembuluh darah,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

Pernah pada suatu pagi, saya menerima panggilan telefon daripada seorang pelajar, suaranya cemas seakan sesuatu yang buruk baharu sahaja berlaku. Dia bertanya:

“Ustaz pandai tafsir mimpi? Saya mendapat mimpi yang sangat ngeri, rumah kami terbakar dan habis semua ahli keluarga hangus dijilat api,”

Saya bertanya suatu soalan mudah bagi mengesan “jenis mimpi ini”: “Bila awak bermimpi?”

Beliau menjawab: “Baru sekejap, lebih kurang pukul 9 pagi.”

Saya memotong tuntas: “Sebenarnya kebenaran mimpi bersangkut juga dengan masa tidur. Sefaham saya, waktu Dhuha adalah waktu manusia keluar bekerja dan bukannya waktu tidur. Syaitan suka manusia pasif tidur pada waktu ini kerana ia tambah melemah dan memalaskan manusia. Awak anggaplah ia sekadar mimpi gangguan syaitan yang mahu menakutkan awak. Berdoa kepada Allah agar perkara tersebut dihindari.”

Mimpi yang benar atau perkhabaran gembira untuk orang soleh. Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak tinggal lagi kenabian melainkan al-Mubasysyirat (perkhabaran gembira). Para sahabat bertanya apakah perkhabaran gembira itu? Baginda menjelaskan: Ia adalah mimpi yang benar,” – Sahih Bukhari

Menurut para ulama Tafsir (Tafsir Ibn Kathir), mimpi yang benar juga tergolong dalam perkhabaran gembira yang diperlihatkan kepada para wali Allah sebagaimana firman-Nya:

Maha Suci Allah! Umat Islam sungguh beruntung kerana memiliki agama yang merungkaikan persoalan misteri mimpi yang selalu menjadi tanda tanya kepada manusia.

Ketika orang bukan Islam kebingungan mencari erti di sebalik mimpi mereka, Islam sudah lama menyelesaikan pencarian itu melalui medium wahyu.

Sungguh masih banyak isu mimpi yang boleh dijelaskan seperti waktu mimpi yang benar, kisah mimpi dari al-Quran dan hadis, pensyariatan beberapa hukum pada zaman Rasulullah melalui mimpi, persoalan mimpi orang bukan Islam dan sebagainya. Bicara ini saya hentikan seketika bagi memberi laluan kepada anda semua untuk bermimpi.

TAKTIK JAHAT SYAITAN

Syaitan sebagai makhluk pembelit nombor satu boleh merosakkan keharmonian masyarakat dengan menimbulkan berbagai mimpi yang menimbulkan bibit curiga. Contohnya si fulan bermimpi jatuh tersungkur ditolak temannya dari tempat tinggi. Temannya pula memang sudah ada sedikit perselisihan faham dengannya. Mimpi ini pula diulang tayang oleh syaitan berkali-kali sehingga mangsa sering tersedar di tengah malam dalam ketakutan. Akhirnya, wajah temannya “yang tidak bersalah itu” dipahat sebagai bersalah oleh syaitan yang mencipta mimpi. Akibatnya, mangsa mulai memandang serong temannya itu. Sebarang tingkah temannya dicurigai. Bantuan temannya direnung dalam bacaan buruk sangka yang maha dahsyat.

Dalam situasi begini, ilmu memainkan peranan besar dalam membantu seseorang menangkis serangan mental dari syaitan. Rasulullah SAW mengajar kita cara mudah menangani mimpi ini dengan sabdanya:

“Apabila seseorang kamu bermimpi sesuatu yang disukainya, ketahuilah ia daripada Allah maka pujilah Allah atas mimpi tersebut dan berbicaralah tentangnya. Akan tetapi apabila seseorang itu bermimpi yang lain iaitu sesuatu yang tidak disukai, ketahuilah ia daripada syaitan. Maka hendaklah dia memohon perlindungan dengan Allah daripada kejahatannya. Jangan juga diceritakan mimpi itu kepada sesiapapun kerana mimpi itu tidak akan memudaratkannya,” – Sahih Bukhari.