Membentuk anak yang berjaya akhlak dan akademik PDF Print E-mail
Written by Zamri Hashim   
Tuesday, 22 March 2016 15:17

Ibu bapa wajib menyediakan pendidikan agama yang sempurna supaya anak mampu menjadi hamba Allah SWT yang beriman.


Pernah satu ketika saya didatangi seorang ibu yang mengadukan hal anaknya. Katanya, “Tolonglah ustaz, anak saya tak menjadi.”


Awalnya saya tidak memahami maksud beliau tetapi akhirnya saya faham tidak menjadi yang dimaksudkan itu ialah kerana anaknya tidak termasuk dalam statistik pelajar yang meraih 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya menerangkan kepada beliau, menjadi atau tidak anak belum boleh diukur seawal usia muda itu. Cara kita mengukur adalah berdasarkan kepada persoalan mengapakah Allah SWT menjadikan kita sebagai manusia di atas muka bumi ini.


Capai status perhambaan

Ada dua tujuan mengapa kita dijadikan Allah SWT di atas muka bumi ini. Pertama, adalah mencapai status perhambaan seluruhnya kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan seperti yang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan manusia dan jin kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah az-Zariyat, ayat 56)

Tujuan kedua ialah menjadi khalifah di atas muka bumi ini mengikut kehendak Allah SWT seperti yang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku menjadikan manusia khalifah di atas muka bumi ini.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)
Ibu bapa wajib memastikan mereka menyediakan pendidikan agama yang cukup supaya anak faham dan mampu menjadi hamba Allah SWT. Indikator awal yang boleh kita ukur pada tahap awal umur anak-anak ialah adakah mereka mengenal Allah SWT dan beriman hanya Islam sahaja yang diiktirafkan Allah SWT. Ini penting kerana anak hari ini hidup dalam zaman penuh kekeliruan seperti promosi terancang dan berstrategi mengenai kesamarataan semua agama serta fahaman liberalisme.

Dari sudut syariat, indikator paling mudah untuk kita ukur ialah adakah anak menjaga solatnya. Adakah dikira anak kita ‘menjadi’ dengan meraih 5A walaupun ia cuai melaksanakan lima waktu solat. Begitu juga dengan akhlaknya, adakah anak kita pandai menghormati guru dan ibu bapa. Berbanggakah kita mempunyai anak yang pandai akademik tetapi kontang budi pekerti? Islam tak remehkan kecemerlangan akademik Islam tidak meremehkan kecemerlangan dalam semua bidang kehidupan termasuklah kecemerlangan akademik kerana ia satu anak tangga untuk mentadbir dunia ini. Namun, bukan bermakna mereka yang tidak cemerlang tertutup peluang untuk menjadi khalifah pada posisi dan kapasitinya.

Janganlah kita menjadi ibu bapa yang baru mengenal huruf ‘A’ untuk diletakkan bertentangan dengan subjek diambil di dalam peperiksaan berbanding sebahagian orang Cina yang tidak lagi mengenal huruf ‘A’ tetapi telah sampai ke peringkat membaca suasana untuk masa hadapan anaknya. Anak mereka yang tidak banyak mendapat ‘A’ telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran untuk kelangsungan hidupnya pada masa akan datang. Saya bukan antikecemerlangan tetapi anti kepada meminggirkan anak yang kurang mendapat A di dalam peperiksaan.


Sekadar contoh, saya pernah menyarankan dalam kuliah menjadi kewajipan orang lelaki Muslim menghulurkan kepala untuk digunting oleh tangan yang sama-sama bersyahadah berbanding dengan rela membiarkan kepala yang sujud tiap-tiap hari dipegang oleh tangan yang belum tentu selesai bersihnya tatkala keluar daripada tandas.


Wira masyarakat


Isunya bukan hukum harus atau tidak bergunting di kedai bukan Islam tetapi saya ingin menarik perhatian pembaca betapa besarnya jasa tukang gunting Muslim yang sudah tentu tidak mendapat banyak ‘A’ dalam peperiksaan, namun telah menjadi wira di khalayak masyarakat Muslim. Adanya mereka di tengah-tengah masyarakat Muslim melepaskan tanggungjawab fardu kifayah yang melepaskan belenggu dosa daripada tengkuk orang Islam lain. Inilah yang dinamakan menjadi khalifah dalam kapasitinya yang tersendiri. Faham begini sepatutnya dihayati oleh setiap ibu bapa iaitu menjadi kewajipan utamanya adalah berusaha melahirkan anaknya sebagai khalifah, pemimpin yang berjiwa a’bid (hamba).


Unggul dalam bidang masing-masing, tetapi faham ia tetap hamba Allah SWT yang wajib berusaha merealisasikan segala tuntutan kehendak Allah di atas muka bumi ini. Generasi sebegini sangat penting untuk menghapuskan pergantungan kita kepada orang lain setelah sekian lama dan dunia ini sudah sampai masanya menerima tawaran untuk ditadbir oleh keadilan Islam.