Sebab itu Allah menegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati Allah (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)

Menyambut kelahiran atau maulid Nabi SAW tidak cukup dengan berselawat dan perarakan. Lebih utama adalah ke­azam­an untuk mencontohi peribadi baginda yang amat mulia. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya Engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang tinggi (mulia). (al-Qalam: 4)

 

Malah Saidatina Aisyah ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah, menjawab akhlak ba­ginda SAW adalah al-Quran. (Hadis riwayat Muslim)

 

Maka, seseorang yang benar-benar cintakan Nabi SAW ialah mereka yang terzahir tanda cintanya itu pada dirinya akan mencontohi baginda SAW dengan melaksanakan sunnah-sunnah baginda; mengikuti kata-kata dan amalan-amalan baginda dan beradab dengan adab-adab nabi SAW baik dalam situasi susah atau senang.

 

Dengan demikian baharulah terbukti kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Ini sebagaimana dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (ali-‘Imran: 31)

 

Satu daripada cara menzahirkan kecintaan kepada baginda adalah dengan mengenali insan yang bernama Muhammad ini. Betullah kata pepatah Melayu, ‘tak kenal maka tak cinta’.

 

Justeru, sempena memperingati hari keputeraan baginda mari kita mengkaji biodata baginda secara ringkas.

 

> Nama bapa: Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abadul Manaf bin Quay bin Kilab bin Murrah.

> Nama ibu: Aminah binti Wahab bin Abd. Manaf bin

Zuhrah bin Kilab bin Murrah.

> Tarikh lahir: Isnin, 12 Rabiulawal tahun ke-53

sebelum hijrah/570 Masihi.

> Tempat lahir: Mekah al-Mukarramah, berhampiran Bukit Sofa (rumah Abu Talib) - kini dibangunkan sebagai

perpustakaan.

> Diangkat menjadi nabi pada 27 Ramadan tahun ke-13 sebelum hijrah/690 Masihi di Gua Hira’, Mekah.

> Tarikh wafat: Isnin, 12 Rabiulawal tahun ke-11 hijrah/
 632 Masihi di Madinah al Munawwarah.

> Profesion: Pengembala kambing; ahli perniagaan

(sehingga umur 40 tahun) dan kemudiannya dilantik

sebagai nabi/rasul. Baginda juga adalah antara lima

rasul yang ulul azmi.

> Tanda istimewa: cap kenabian di antara dua bahu.

> Warna kegemaran: putih dan hijau.

> Binatang kesayangan baginda:

a) keldai (empat ekor\dan Dul-Dul adalah keldai yang

paling baginda sayang).

b) unta (20 ekor dan ‘Atba adalah unta kesayangan baginda).

c) kuda (20 ekor dan Ya’fur adalah kuda kesayangan

baginda).

> Baginda mempunyai 12 isteri dan tujuh anak iaitu

tiga lelaki dan empat perempuan.

> Perkara yang khusus kepada Nabi SAW antaranya

maksum (terpelihara daripada dosa); dianugerahi

kefasihan berbicara; keluarga dan keturunan baginda

dilarang menerima zakat; janda baginda dilarang

dinikahi orang lain dan Allah izinkan baginda

berkahwin lebih empat orang.

> Baginda terlibat dan menjadi panglima tentera dalam 28 peperangan sepanjang tahun pertama hingga ke-11 hijrah.

 

Semoga dengan mengenali sirah baginda akan membuka hati kita menjadi insan yang sentiasa mencontohi dan me­rin­dui Nabi SAW. Bagi yang berkemampuan, bolehlah menziarahi makam Rasulullah di Madinah kerana ada hadis yang mengatakan perbuatan tersebut persis menziarahi baginda semasa hidup