Pentafsiran mimpi berbeza ikut peribadi seseorang PDF Print E-mail
Written by Zamanuddin Jusoh   
Wednesday, 25 November 2015 07:14

KEBANYAKAN mimpi adalah mainan tidur. Hanya mimpi Nabi, Rasul dan orang bertakwa sahaja membuktikan kebenaran.

MIMPI dan tidur umpama irama dan lagu yang tak dapat dipisahkan. Hanya cara dan jenis mimpi adalah berbeza antara manusia biasa dan orang yang salih, yang mana hati mereka amat hampir dengan Allah SWT. Mimpi mempunyai kedudukan tersendiri dalam Islam. Hanya mereka yang dianugerahkan Allah sahaja yang dapat mentafsirkan mimpi dengan cara yang betul.

Baginda SAW sendiri pernah menafsirkan akan mimpi sahabat. Malah setiap kali Baginda SAW bermimpi, akan diceritakan kepada sahabat dan menafsirkan mimpi tersebut untuk dijadikan pengajaran. Sahabat juga pernah didatangi orang yang bermimpi dan menafsirkan mimpi tersebut kepada mereka. Begitu juga daripada ulama dan orang yang salih umpama Imam Ibnu Sirin, Imam Jaafar As-Sodiq dan lain-lain. Sabda Baginda SAW bermaksud: "Mimpi seorang Muslim nyaris tidak pernah menipu. Pastinya mereka adalah orang yang paling jujur hatinya. Mimpi seorang Mukmin adalah 46 bahagian kenabian". (Hadis Riwayat Muslim).

Mainan tidur Namun demikian, pada umumnya, mimpi adalah dianggap sebagai mainan tidur seperti firman Allah bermaksud: "Mereka menjawab, itu adalah mimpi kosong dan kami tidak tahu akan tafsirannya". (Surah Yusuf, ayat 44).

Ini menunjukkan bahawa tidak semua manusia mampu untuk mentafsirkan mimpi melainkan mereka yang mendapat anugerah. Imam Ibnu Sirin menyatakan bahawa, tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung di dalamnya. Ada kalanya, mimpi bagaikan angin lalu dan ada juga yang menjadi kenyataan. Mimpi insan yang bertakwa adalah suatu kebenaran yang akan berlaku. Maka, mimpi Nabi dan Rasul adalah suatu kebenaran dan hakikat yang akan berlaku. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah membuktikan kepada Rasul-Nya dengan mimpi yang benar". (Surah al-Fath, ayat 27).

Umpamanya, dalam kisah Ibrahim, Allah SWT berfirman: "Apabila tiba masanya, Ibrahim menyeru kepada anaknya, Wahai anakku, aku telah melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelih kamu." (Surah Saffat, ayat 102).

Demikian juga mimpi Nabi Yusuf seperti firman Allah SWT dalam Surah Yusuf, ayat 4, bermaksud: "Berkatalah Yusuf pada bapanya; "Wahai bapaku, sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan semuanya sujud padaku."

Baginda SAW juga bermimpi dan menceritakan kepada sahabat di dalam sabdanya bermaksud: "Aku telah bermimpi seolah-olah sedang minum susu dalam satu mangkuk dan bakinya aku serahkan kepada Umar lalu diminum olehnya".

Maka benarlah sabda Baginda SAW: "Tidak kekal selepas aku melainkan berita gembira. Sahabat bertanya, apakah berita gembira tersebut wahai Rasulullah?. Jawab Baginda SAW: "Itulah mimpi orang salih".

Islam mempunyai pandangan tersendiri mengenai mimpi dan meletakkan mimpi pada kedudukannya tersendiri. Berdasarkan pemerhatian ulama, mimpi terbahagi kepada tiga kategori.

Pertamanya ialah gambaran daripada Allah melalui mimpi dan kebenarannya akan berlaku umpama kisah terkenal yang berlaku terhadap Nabi Yusuf dan Nabi Ibrahim.

Keduanya ialah gangguan syaitan pada orang beriman. Mimpi juga boleh dikaitkan sebagai jalinan yang hidup dan mereka yang telah mati. Tiga rangkaian yang lengkap untuk menyatakan bahawa hubungan antara mereka yang hidup dengan yang telah mati masih berjalan iaitu dengan dakwah, khabar gembira dan mimpi. Pernah seorang lelaki datang berjumpa Baginda SAW dan menceritakan bahawa dia bermimpi kepalanya telah terpotong dua. Maka jawab Baginda SAW: "Janganlah kamu menceritakan kepada orang lain kerana ia adalah gangguan syaitan yang mengganggu fikiranmu". Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya ada bisikkan syaitan supaya orang beriman itu berduka cita." (Surah al-Mujadilah, ayat 10).

Ketiga adalah mimpi hasil daripada pengaruh pemikiran dan dorongan nafsu terhadap sesuatu perkara. Jelas ia bagaikan angin lalu yang tiada mempunyai erti sebagaimana ungkapan Ibnu Sirin. Jelas bahawa, setiap mimpi akan berlegar kepada tiga perkara tersebut dan mimpi orang yang beriman adalah berbeza daripada orang awam. Kemampuan tafsir Begitu juga tafsiran kepada sesuatu mimpi adalah berbeza mengikut kemampuan yang Allah kurniakan kepada seseorang.

Nabi Yusuf dianugerahkan oleh Allah SWT kemampuan untuk mentafsirkan mimpi sehingga beliau terselamat daripada ancaman penjara. Justeru, carilah mereka yang beriman dan baik untuk menceritakan sesuatu mimpi.

Kedudukan mimpi dan kebenarannya dapat dilihat melalui cara dan siapakah orang yang bermimpi. Jika daripada golongan beriman, maka ia adalah gambaran baik daripada Allah SWT. Begitu juga sebaliknya bagi orang yang banyak melakukan maksiat. Segala-galanya akan ditentukan oleh pentafsir mimpi yang mempunyai ciri-ciri orang yang beriman.

Suatu peristiwa, datang dua lelaki kepada Imam Ahmad bin Sirin seorang pentafsir mimpi yang terkenal pada zamannya. Salam seorang daripadanya berkata "Wahai imam, sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku sedang melaungkan azan. Selepas imam meneliti pada wajah lelaki tersebut, maka, jawab imam, kamu akan pergi menunaikan haji."

Tidak lama kemudian, datang seorang lelaki lain dengan mimpi yang sama dan imam menafsirkan bahawa dia hendaklah berhati-hati kerana beliau akan terjebak dalam kes mencuri.

Maka, hairanlah orang ramai yang ada ketika itu dengan tafsiran berbeza pada mimpi yang sama dan bertanya.

Setelah keduanya berlalu, jawab imam, "aku melihat lelaki pertama dan melihat keimanan pada wajahnya lalu aku teringat dengan firman Allah SWT: "dan serulah kepada manusia mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang dari segenap pelusuk dunia". (Surah al-Haj, ayat 27)."

"Lelaki kedua, aku melihat tanda-tanda buruk pada wajahnya dan aku teringat akan firman Allah SWT: "Kemudian seruan menyebut, wahai gerombolan, dalam kalangan kamu ada pencuri." (Surah Yusuf ayat 70)."

Kita dapati pelbagai jenis mimpi yang dirasai oleh setiap manusia. Semuanya telah digariskan oleh Baginda SAW bagi setiap mimpi tersebut. Sabda Baginda SAW bermaksud: "Apabila seseorang bermimpi perkara yang disukai, maka ceritalah kepada orang lain dan ucaplah Alhamdulillah. Dan apabila seseorang bermimpi perkara yang buruk maka ucaplah a'uzubillah dan janganlah diceritakan kepada sesiapa. Sesungguhnya ia tidak akan memberi apa-apa kemudaratan". (Riwayat Bukhari).

Oleh kerana itulah, mereka yang bermimpi dan orang yang diminta untuk mentafsirkannya mestilah mempunyai berkelayakan serta berwibawa. Tafsiran mimpi adalah suatu kelebihan yang dianugerahkan kepada orang tertentu berdasarkan kaedah ilmu agama Islam yang dimiliki.