5 panduan wanita bekerjaya bahagi masa PDF Print E-mail
Written by Oleh Dr Nurhidayah Hashim   
Wednesday, 25 November 2015 07:07

Hubungan rapat antara ibu bapa dan anak melahirkan generasi yang positif.

Rata-rata keluarga hari ini memerlukan suami dan isteri bekerja untuk menampung keperluan rumah tangga yang mendesak. Harga barangan dapur semakin mahal, anak bersekolah dan memerlukan pelbagai jenis bahan pembelajaran, ada kala hasil pendapatan suami sahaja tidak mencukupi. Maka, isteri perlu turut sama bekerja mencari pendapatan untuk membantu suami menampung keperluan keluarga.

Dalam menjayakan tugasan sebagai isteri, ibu dan pekerja, kerap kali juga wanita berdepan situasi beban kerja sehingga membuatkan mereka berasa tertekan. Ada kala komitmen terlalu tinggi diperlukan di tempat kerja sehingga wanita tidak tahu mana yang perlu diutamakan. Ada ibu yang bekerja terlalu menumpukan kepada kerja sehingga meninggalkan tanggungjawab terhadap anak serta keluarga.

Panduan wanita bekerja

Terdapat beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan bagi wanita bekerja.

Pertama, bekerja dengan niat semata-mata kerana Allah SWT. Apabila keredaan Allah SWT menjadi matlamat, maka ia sekali gus memberi maksud wanita mesti memilih kerja yang halal dan menjaga maruah kehormatan diri sebaiknya.

Kedua, wanita perlu belajar membahagikan masa dengan baik supaya urusan rumah tangga tidak terabai. Wanita perlu kreatif dan bijaksana. Apabila di pejabat, haruslah fokus kepada kerja pejabat dan berusaha melaksanakan tugasan sebaik mungkin. Kembali ke rumah, maka fokus wajarlah diberikan untuk urusan rumah tangga. Jika bertembung antara tugasan keluarga dan kerjaya, panduan yang diberikan oleh seorang pemikir Islam, Syeikh Hassan al Banna wajar diberi perhatian. Beliau berkata: "Islam berpandangan wanita mempunyai tugas yang sesuai dengan fitrah semula jadi mereka iaitu di rumah dan bersama anak. Sebagai anak gadis, dia perlu mempersiapkan dirinya untuk memikul tanggungjawab keluarga pada masa depan. Sebagai isteri, dia perlu memberikan tumpuannya kepada rumah dan suaminya. Sebagai ibu dia perlu berkhidmat untuk suami dan anak-anaknya. Dia perlu memberikan tumpuan kepada rumahnya. Dia adalah suri rumah dan pengurus rumah tangga. Apakah dengan segala urusan rumah tangga ini, wanita ada keluangan masa untuk melakukan perkara lain? Jika wujud tuntutan masyarakat yang memerlukan wanita melakukan kerja di luar selain tugas hakiki mereka ini, ketika itu mereka perlu memelihara beberapa syarat yang ditetapkan oleh Islam."

Ketiga, wanita harus melihat keberkatan kerja yang dilakukan berkait rapat dengan keizinan suami membenarkan dia bekerja. Apabila seseorang isteri diberikan izin untuk bekerja di luar rumah, hendaklah dia berusaha menjaga etika kerja yang sesuai dan membahagikan waktu bekerja dan di rumah dengan baik. Jika perkara ini tidak ditangani dengan baik, kesibukan yang keterlaluan akan menggugat perhubungan dan komunikasi suami isteri mungkin boleh membawa kepada kehancuran rumah tangga. Apabila suami mengizinkan isterinya bekerja, suami juga perlu membantu serta memahami kesulitan isteri. Jika isteri tidak bekerja, makanan sentiasa dihidang panas, apabila isteri bekerja dan semakin sibuk, dia mungkin tidak mampu lagi berbuat demikian. Kerjasama suami menjadi satu perkara penting dalam menjayakan semua tugasan mereka.

Wanita yang bekerja tidak harus terlalu mementingkan kerjayanya sahaja dengan mengabaikan kualiti keluarga dan anak. Malah apabila berlaku pertembungan, wanita dikehendaki mendahulukan suami dan anak berbanding kerjayanya. Islam meletakkan garis panduan menjaga kebajikan dan kebahagiaan suami dan anak adalah teras tanggungjawab utama isteri ataupun ibu. Wanita yang lebih banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk pekerjaan luar mungkin menyebabkan dia tidak mampu melaksanakan tugas asasinya dengan sempurna.

Keempat, berdasarkan hakikat bekerja sebenarnya mengambil sebahagian besar masa wanita di luar rumah, maka mereka perlu meningkatkan kepakaran sebagai ibu moden dengan ilmu keibubapaan yang sesuai mengikut zaman. Anak yang sedang membesar perlukan perhatian maka membiarkan mereka tanpa didikan teras agama boleh menyebabkan mereka mencari nilai sendiri. Kesilapan ini mungkin tidak disedari apabila ibu terlalu sibuk sehingga tidak sempat mengambil tahu pengisian ilmu, spiritual dan keselamatan anak.

Kurang masa untuk keluarga

Ada juga disebabkan terlalu sibuk, anak dibiarkan melakukan aktiviti sendiri serta berkawan dengan sesiapa sahaja. Wanita bekerja juga perlu berusaha menambah ilmu untuk menangani urusan anak seperti ilmu psikologi remaja dan keibubapaan yang sesuai dengan perkembangan masa. Pendekatan dan nasihat yang sesuai perlu dikuasai supaya cara didikan serta teguran sesuai dengan jiwa anak.

Kelima, wanita tidak boleh meninggalkan peranannya dalam masyarakat. Mereka perlu peka dengan apa yang berlaku di sekelilingnya dan bersedia menyumbangkan masa dan tenaga untuk kesejahteraan masyarakat. Menghadiri sesuatu majlis keraian, ceramah dan usrah, menghadiri perjumpaan penduduk dalam kejiranan, terbabit dalam program sukarelawan masjid wajar menjadi keutamaan. Pembabitan dalam masyarakat dan berusaha memperbaiki masyarakat menjadi lebih baik akan memberi pulangan dengan kehidupan yang lebih sihat, terpandu serta diberkati Allah SWT.