Masyarakat mesti peka kemudaratan e-rokok, vape PDF Print E-mail
Written by Dr Azizi Ayob   
Thursday, 12 November 2015 20:22

MENGHISAP vape secara berlebihan dikhuatiri membawa kesan buruk kepada kesihatan.


ISU e-rokok dan vape menjadi agak ‘panas’ dalam seminggu dua ini apabila kerajaan mengambil keputusan untuk tidak mengharamkan penggunaan rokok ala generasi baharu ini. Bagi penghisap rokok dan pengamal vape juga dikenali sebagai vapers, seolah-olah keputusan ini satu ‘kemenangan’ awal bagi mereka pula.


Sebagai seorang pengamal perubatan dan aktif bersama Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) iaitu badan bukan kerajaan (NGO), ingin mengajak pihak berwajib dan kerajaan, ibu bapa serta remaja dan juga mereka yang berkepentingan untuk memahami isu e-rokok dan vape dengan lebih mendalam. Pendirian tegas dalam isu ini dan pengharaman gejala e-rokok dan vape ini adalah wajar kerana memahami kemudaratan yang disebabkan oleh wap vapor yang dihasilkan melalui kaedah alat elektronik.


Saranan ini berdasarkan beberapa kajian saintifik, kajian awal pendedahan wap e-rokok dan juga meneliti pandangan hukum syarak. Boleh beri kesan mudarat Walaupun begitu, kita sedar kajian ilmiah secara konklusif untuk mengaitkan wap vapor e-rokok dengan kemudaratan seperti kanser ke atas manusia masih belum diperoleh. Ini tidak bermaksud, kita perlu berdiam diri dan membiarkan gejala ini terus merosakkan masyarakat terutama generasi muda.


Banyak kajian awal dan sebahagiannya masih dalam proses kajian, kesan buruk dan mudarat dari segi sosial dan kesihatan mental telah dikenal pasti. Perlu ditekankan di sini bahawa kategori alat elektronik ini termasuk yang tidak mengandungi nikotin dikenali sebagai vape dan e-rokok pula mengandungi nikotin. Kedua-duanya ini boleh mendatangkan gejala kurang sihat. Rokok elektronik terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu bateri, atomizer dan penyedut. Secara ringkas, bateri membekalkan tenaga elektrik kepada atomizer yang akan memanaskan cecair e-liquid untuk menghasilkan wap atau vapor. E-liquid pula adalah campuran bahan kimia seperti stablizing agent iaitu prolylene glycol, vegetable glycerin (glycol), perasa dan nikotin. Ada juga campuran e-liquid ini yang tidak mengandungi nikotin. Namun, nikotin sangat mudah melarut dalam prolylene glycol manakala vegetable glycerin pula menggalakkan kepekatan wap yang dihasilkan.


Pelbagai jenis perasa juga digunakan seperti perasa makanan yang biasa. Pengguna akan menyedut wap ini melalui penyedut persis seperti merokok. Gejala ketagihan melalui vape ini tidak perlu dipertikaikan kerana sebahagian besar kandungan e-liquid itu mengandungi nikotin. Umum mengetahui bahawa nikotin adalah bahan yang didapati daripada daun tumbuhan dan ia ubat perangsang semula jadi.


Sebanyak 0.6 hingga tiga peratus nikotin dikenal pasti ada dalam daun tembakau kering manakala 2-7 ug/kg dalam tumbuhan lain. Nikotin boleh menyebabkan ketagihan hampir sama seperti ketagihan kepada heroin dan kokain. Justeru, pendedahan berpanjangan kepada nikotin akan memberi kesan kepada psikologi seperti mampu mengubah mood, memberi kesan perangsang (stimulant) dan penenang. Banyak kajian saintifik menunjukkan pada dos yang minimum iaitu 2mg nikotin yang diserap ke dalam darah memberi kesan stimulant manakala dos yang tinggi sekitar 50 hingga 100mg mengakibatkan kesan mudarat.


PELBAGAI jenis perisa vape dijual di kedai vape.


Supian Ahmad Sokong langkah pengawalan Oleh kerana nikotin sudah dikenal pasti penyebab kepada ketagihan pada dos tertentu apatah lagi pada dos tinggi, jadi pencegahan dalam bentuk undang-undang perlu dilakukan. Pengawalan ke atas penggunaan nikotin ini perlu dikawal selia dengan lebih terancang.


Kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan untuk menggunakan Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 untuk menangani isu ini perlu disokong oleh semua pihak. Di bawah Akta Racun ini, nikotin diletakkan sebagai racun kategori C yang hanya boleh dijual atau dibekalkan sebagai ubat atau bahan dalam ubat oleh pengamal perubatan berdaftar. Namun, nikotin dalam tembakau dikecualikan daripada akta itu kerana kawalan tembakau terletak di bawah Akta Makanan.
Secara ringkasnya e-rokok atau rokok bentuk elektronik termasuk vape dikategorikan sebagai berbahaya, membazir dan memudaratkan kesihatan mental dan fizikal. Pendirian dan saranan ini disokong bukan sahaja daripada kajian ilmiah dan saintifik, malah beberapa rujukan ayat al-Quran, hadis, pendapat ulama muktabar, fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 (isu rokok), dan Irsyad Fatwa Ke-63 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.


Sebahagian alasan ilmiah dari sudut hukum syarak diperbincangkan di sini seperti kupasan di bawah:


Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu: “Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah SWT mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
Beberapa alasan menyatakan bahawa merokok menggunakan e-rokok atau rokok secara bentuk elektronik termasuk vape jelas memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas berikut:


Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.


Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak boleh memberi mudarat dan membalas dengan kemudaratan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni).


Alasan kemudaratan dan salah faham dari sudut kajian saintifik yang sebahagiannya dirangkumkan seperti di bawah:
Bahan utama dalam e-rokok atau vapor ini ialah stabilizing agent, juga dikenali sebagai propylene glycol atau glycerol. Bahan kimia ini akan mengeluarkan wap atau vaporized melalui penggunaan alat elektronik yang dikenali sebagai cartridge. Wap ini boleh membawa nikotin atau bahan perasa lain.


Oleh kerana e-rokok ini tidak menghasilkan pembakaran atau penghasilan bahan tar seperti rokok biasa, ini menyebabkan pihak orang awam merasakan e-rokok selamat dan digunakan sebagai alternatif kepada rawatan ketagihan rokok. Namun begitu, analisis daripada wap e-rokok ini menunjukkan banyak bahan lain yang mempunyai potensi sebagai racun atau carcinogenic. Ini termasuk partikel seperti formaldehyde, nitrosaminse, metal, carbonyls dan volatile organic compounds.
Kemudaratan dan bahaya kepada pendedahan wap vapor ini bertambah selepas proses vaporization akibat haba panas dan kesan voltage yang dikeluarkan oleh bateri. Formaldehyde ialah bahan degradasi propylene glycol akibat reaksi kimia yang berlaku dalam proses vaporization dan menghasilkan hemiacetals.


Kesan buruk formaldehyde ini telah dilaporkan secara terperinci oleh sepasukan penyelidik bertajuk Hidden formaldehyde in E-cigarette aerosol, oleh The New England Journal of Medicine, 2015. Mereka mengenal pasti jumlah formaldehyde yang dihisap melalui e-rokok atau vape ini boleh meningkatkan risiko dikaitkan dengan kanser untuk jangkamasa lama. Walaupun kajian kesan ke atas fungsi paru-paru atau kanser kepada manusia masih belum dikenal pasti, beberapa kajian awal menunjukkan kesan buruk ke atas model haiwan. Kajian ke atas model tikus pendedahan wap e-rokok yang mengandungi nikotin selama dua minggu oleh sepasukan penyelidik di University John Hopkin, Amerika Syarikat, mendapati kesan buruk ke atas respon imuniti badan, dan kurang ketahanan badan untuk melawan jangkitan bakteria. Ini boleh diperjelaskan dengan sistem pernafasan kita terdapat banyak rambut halus (cilia) di hidung dan paru-paru. Sekiranya ada benda asing seperti habuk atau jerebu, sel darah putih akan mengambil peranan untuk memakan kuman itu (phagocytosis). Akibat pendedahan kepada vapor ini, sistem phagocytosis tidak mampu berfungsi secara optimum. Masalah sama juga akan timbul kepada mereka yang mengalami gejala pengumpulan mucous (seperti kahak) yang lama dan menyebabkan penyakit respiratori obstruktif (COPD) yang biasa dihidapi perokok.


Pada September 2008, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian nikotin. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok.


Usah gunakan e-rokok, vapor Saya sebagai rakyat yang prihatin dan mematuhi etika pengamal perubatan, menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan e-rokok kerana ia berbahaya kepada kesihatan. E-rokok, vapor atau nikotin elektronik menggunakan alat dan cecair pelbagai perisa yang menggunakan kuasa bateri dan mengeluarkan wap ini sama seperti merokok walaupun tanpa penggunaan tembakau. Sekalipun kemudaratan ini dinafikan oleh penghisap e-rokok tegar, tiada kajian memastikan aktiviti e-rokok ini benar-benar selamat. Umum mengetahui kesan buruk melalui rokok dan ketagihan merokok yang masih perlu ditangani oleh pelbagai pihak. Oleh itu, isu e-rokok dan vapor ini sangat wajar diberi perhatian khusus sebelum gejala buruk ini merosakkan kesihatan mental dan fizikal masyarakat