Idam keluarga mithali PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Sunday, 11 May 2014 00:09

SETIAP manusia pastinya ingin berkahwin dan membina keluarga bahagia, aman damai dan menjadi contoh kepada orang ramai. Pada masa yang sama, berhasrat untuk mendapat zuriat yang ramai, ingin merasa mewah dan mengadakan segala kesenangan duniawi kepada ahli keluarga.

Membina sebuah rumah tangga dan keluarga adalah satu tanggungjawab yang besar kepada seorang suami dan isteri. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu semua daripada jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangannya dan berkembang daripada keduanya banyak lelaki dan perempuan. (an-Nisa': 1)

Ini diperkukuh melalui hadis Nabi SAW yang bermaksud: ¬ďApabila antara kamu ada yang mampu berkahwin, hendaklah ia berkahwin kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara. Dan apabila ia belum mampu kahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu mengawal nafsunya." (riwayat Abu Daud, Kitab Nikah, vol2, 2544).

Oleh kerana syarat utama perkahwinan ialah kemampuan daripada segala segi termasuk kemampuan fizikal, mental dan kerohanian, maka sebelum berkahwin, persediaan diri perlu dilakukan. Tentunya apabila akad nikah dilafazkan, seorang lelaki perlu sedar bahawa dia telah membuat ikrar dengan nama Allah SWT untuk menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Suami mempunyai tanggungjawab yang besar dalam pembinaan sebuah keluarga yang mithali atau keluarga yang boleh menjadi contoh kepada semua orang. Dalam sebuah keluarga mithali, perlu ada kasih sayang atau yang biasa disebut sebagai mawaddah wa rahmah.

Ini kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan di antara mu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (al-Rum: 20)

Rumah tangga bukan sahaja perlu berkasih sayang malah ia mestilah sebuah rumah tangga yang sakinah iaitu ketenangan dan ketenteraman jiwa. Perkataan sakinah ini disebut sebanyak enam kali di dalam al-Quran, iaitu pada surah al-Baqarah: 248, at-Taubah: 26 dan 40, al-Fath: 4, 18 dan 26.

Sakinah

Dalam ayat-ayat tersebut dijelaskan bahawa sakinah itu didatangkan oleh Allah SWT ke dalam hati para nabi dan orang-orang yang beriman agar tabah dan tidak gentar menghadapi tentangan, rintangan, ujian, cubaan, ataupun musibah.

Jika diamati, sebuah keluarga mithali perlu ada kasih sayang dan hidup bersayang-sayangan serta aman, damai lagi bahagia. Benarlah kebahagiaan itu sesuatu yang sangat subjektif tetapi kebahagiaan itu terletak di hati sunabari seseorang.

Jika seorang suami, apabila melihat wajah isterinya ia merasa tenteram, sejuk dan damai tentulah isteri itu isteri yang amat dicintainya, seterusnya daripada kehidupan tersebutlah akan melahirkan sebuah keluarga yang mithali.

Penterjemahan keluarga mithali ini hanya boleh dilihat daripada raut wajah pasangan serta bagaimana anak-anak mereka dibesarkan. Jika pasangan suami isteri itu berkahwin atas dasar cinta tetapi selepas berkahwin mereka sering bertengkar sehinggakan rumah tangga itu tiada sakinahnya!

Hari ini jika 77 pasangan bernikah setiap satu jam, tiga daripadanya berakhir dengan perceraian. Saya tidak gusar melihat statistik perceraian ini kerana jumlah berkahwin bagi setiap jam adalah sangat tinggi. Ini bermakna orang Islam di Malaysia tidak bersekedudukan tanpa nikah dan melihat perkahwinan sebagai institusi penting yang menghalalkan hubungan seksual antara lelaki dan perempuan serta untuk mendapat zuriat bagi kelangsungan umat Islam.

Begitu pun, dalam 74 pasangan yang tidak bercerai itu, adakah perkahwinan mereka itu perkahwinan yang mawaddah wa rahmah? Adakah perkahwinan mereka itu perkahwinan yang sakinah? Jika diamati, banyak perkahwinan hari ini yang tidak bercerai tetapi tidak bahagia.

Tanggungjawab ketua keluarga

Saya pernah terlibat menemubual penerima anugerah Ibu Mithali peringkat Kebangsaan beberapa tahun lalu. Semasa menemubual calon finalis itu ada banyak ilmu yang bermanfaat yang telah saya peroleh daripada mereka dalam membina sebuah keluarga yang mithali atau sakinah ini.

Hakikatnya, ia sangat bergantung kepada ketua keluarga iaitu bapa sebagai nakhoda kapal yang sangat penting dalam menentukan hala tuju kapalnya. Jika keluarga itu dianggap seperti sebuah kapal yang mahu belajar, semua itu akan bergantung kepada ketuanya iaitu nakhoda, sama ada kapalnya berjalan laju tanpa berhenti di mana-mana kerana jalan yang dituju masih jauh tetapi kapal itu cukup kelengkapan untuk berlayar begitu lama.

Ada kapal singgah menyinggah di beberapa pelabuhan untuk mengisi minyak, mendapat bekalan makanan dan lain-lain. Ada juga kapalnya bocor, ada yang hampir karam dan ada yang memerlukan bantuan untuk terus belajar.

Begitulah juga dengan kehidupan rumah tangga. Perkara asas yang wajib diketahui oleh seorang lelaki ialah apakah ciri-ciri ketua keluarga yang dia perlu ada dan bagaimana ia boleh memastikan keluarga yang diterajuinya menjadi keluarga mithali. Insya-Allah, topik ini akan saya bincangkan pada artikel berikut nanti.